oleh Hishamuddin Rais @ Malaysiakini
Seperti yang dijanjikan ibu segala demo berjaya dijalankan. Seperti yang telah dijanjikan 250,000 warga telah turun ke jalan raya. Seperti yang telah dijanjikan politik baru telah dimunculkan. Seperti yang telah dijanjikan anak semua bangsa telah melintasi garis takut. Seperti yang telah dijanjikan politik ke jalan raya sebelum ke pilihan raya telah menjadi pedoman semua.
Hari hari berikut - seminggu, dua minggu mungkin satu bulan - heboh "Duduk Bantah" akan berterusan. MediaUnited Malays National Organisation akan terus memperlekeh BERSIH. Media gerombolan ini akan menetaskan pelbagai kesah penglipur lara, labun dan sastera.
Laporan awal dari Utusan telah mensasterakan bagaimana para demonstran telah dibayar untuk turun ke jalan raya. Ada demonstran yang telah diupah. Ada yang telah dirasuah. Ini sebenarnya ini teknik media lama yang telah berkarat. Akhbar gerombolan Ketuanan Melayu ini tidak sedar bahawa media baru, lengok dan bunyinya telah berubah.
Tetapi untuk menyenangkan kerja saya, saya menerima hakikat bahawa labun-labun media Utusan Malaysia ini adalah tepat - sahih lagi mensahihkan.
Maka akan timbul pula kisah polis kena pukul, kisah polis kena lanyak, kisah polis kena pelangkung, kisah polis menyembah minta ampun kerana ditibai oleh penunjuk perasaan, kisah polis lari terkencing-kecing dikejar penunjuk perasaan.
Akan timbul juga kisah penunjuk perasaan amat ganas, penunjuk perasan amat liar, penunjuk perasaan buat huru hara, penunjuk perasan baling batu dan baling botol, kisah polis cedera masuk hospital.
Untuk menyenangkan kerja kita, saya sarankan marilah kita terima hakikat bahawa sastera labun dari media United Malay National Organisation ini adalah sahih lagi mensahihkan, benar lagi membenarkan, betul lagi membetulkan.
Maka akan timbul pula kisah bahawa S Ambiga pengerusi nersama BERSIH ini sebenarnya bukan rakyat Malaysia. Ambiga berasal usul dari Nigeria. Nama sebenarnya Miss Wa Dunga Wa Dungu. Ambiga ini bukan sahaja orang asing malah telah dibuktikan bahawa Ambiga ini telah menerima duit dari ajen Ah Seng untuk memburuk-burukkan Raja-Raja Melayu.
Tidak cukup dengan ini Ambiga ini juga telah dibuktikan sebagai pengamal seks percuma. Malah kempen Ambiga menawarkan free sex inilah yang menjadi daya tarikan utama untuk anak anak muda dari Kuala Berang turun beramai-ramai ke Dataran Merdeka.
Lalu saya ingin bertanya, adakah ada sesiapa yang tidak akan berminat dengan seks percuma? Kempen seks percuma BERSIH ini cukup memberahikan. Bakal penunjuk perasaan bukan sahaja dapat seks percuma malah saya telah diberi tahu aiskrim batang pun akan diberi percuma.
Justeru, untuk membereskan tugas dan kerja kita maka saya cadangkan kita terima sahajalah labun seks percuma ini sebagai sahih lagi mensahihkan
Maka akan timbul pula kisah bagaimana kamera wartawan dari Al Jazeraa, Al-Bibisi, Al-Si-Ant-Ant, Al-Jazail, Al-Jalakon, Al-Mush-rikin dan Al-Ma'aunah yang telah dirampas oleh penunjuk perasaan. Bukan sahaja kamera di rampas tetapi telah dipijak-pijak. Tidak cukup dengan dipijak-pijak kamera ini juga telah dijualkan kepada Muniandy pembeli besi buruk dari Brickfields.
Sekali lagi saya dengan penuh kesedaran, untuk melunaskan dan mempercepatkan tugas harian, saya telah menerima berita ini sebagai sahih lagi mensahihkan.
BERSIH juga difahamkan bahawa ramai polis rahsia Najib yang dikenali dengan nama As Bee telah membeli baju-T BERSIH. Lebih dari 30 orang As Bee ini telah turut sama berdemo dengan memakai baju-T berwarna kuning dengan logo BERSIH. Bijak. Memang cukup bijak.
Saya juga tidak akan menolak berita As Bee ini sebenarnya menyamar sebagai penunjuk perasaan. As Bee bertugas untuk menjadi tukang kacau. As Bee jadi tukang provok. Maka kita terimalah kisah dan berita ini sebagai sahih lagi mensahihkan.
Saya juga tidak akan mempersoalkan tentang polis membawa kereta untuk melanggar demonstran di pinggir jalan. Atau berita tentang polis bermotosikal ke hulu ke hilir memacu motosikal besar mereka dengan ligat dan laju. Kita tak perlu bertengkar tentang ini.
Saya juga dengan senang hati menerima kisah bagaimana Chegubard, YB Tian Chua, YB Eli Wong, YB Sivarasa, peguam Latifah Koya termasuk peguam minah cun yang bernama Fadiah telah sama menerobos masuk ke Dataran Merdeka. Merekabukan sahaja menerobos masuk ke Dataran Merdeka, malah mereka telah membaling kasut dan selipar kepada mata-mata yang bertugas.
Kemudian kita membaca pula bagaimana Anwar Ibrahim dan Azmin Ali telah berbisik-bisik dan berkenyit mata memberi tanda isyarat untuk merempuh masuk ke Dataran Merdeka. Mereka berdua ini mengikut surah labun Utusan Malaysia adalah orang jahat yang memulakan huru hara. Ini pun saya terima sebagai sahih.
Ada pula berita yang melaporkan BERSIH telah dibajak oleh parti politik. Ada yang melaporkan bahawa BERSIH telah menjadi kuda tunggangan parti pembangkang. Ada berita yang melaporkan BERSIH ini ejen Pakatan Rakyat. Untuk saya semua ini adalah berita yang tepat.
Untuk memudahkan kerja, saya tidak akan mempertikaikan kesemua berita-berita ini. Saya juga tidak akan menolak berita-berita ini. Saya tidak akan membangkang laporan Utusan Malaysia. Malah semua kisah-kisah ini saya anggap sahih lagi mensahihkan.
Saya tak ada masalah untuk menerima, mensahihkan dan menghalalkan semua laporan berita ini. Saya tidak akan bertegang leher untuk menafikan berita ini. Saya juga tidak akan berhujah untuk membuktikan bahawa semua berita-berita ini di reka-reka untuk mengalihkan pandangan orang ramai. Direka-reka agar orang ramai benci kepada BERSIH. Saya akan terima semua berita ini dengan tangan dan zip terbuka.
Hanya, saya ingin bertanya kepada pasangan Rosmah, kenapa ada rancangan hendak menipu dalam pilihan raya yang akan datang ini?
Saya juga hendak bertanya, 250,000 penunjuk perasaan yang turun ke jalan raya pada hari Sabtu lalu mahu apa? Apa tuntutan mereka? Beribu-ribu anak muda yang berdemo itu apa yang mereka mahu? Beratus ribu anak muda dari kampung dan desa, dari semua pelosok negara berani ke jalan raya kerana apa? Anak-anak muda dari Kuala Berang, dari Kuala Kedah, dari Felda Chemomoi bertempur dengan FRU di Masjid Jamek kenapa? Apa yang mereka mahu?
Satelah semua kisah ibu segala demo ini mengenap, pertanyaan-pertanyan di atas wajib dijawab. Soalan: Kenapa ada rancangan tersusun untuk menipu dalam PRU13 ini akan timbul kembali? Soalan kenapa gerombolan United Malays National Organisation merancang dengan menggunakan akta parlimen untuk menipu di PRU13 telah diketahui ramai. Ini bukan berita bohong.
Dakwaan kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya, Jabatan Pendaftaran Negara, PDRM, Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Perdana Menteri mengeluarkan kad pengenalan segera kepada pendatang asing ini juga telah di ketahui ramai. Pendatang asing ini didakwa diberi kad pengenalan untuk membolehkan mereka mengundi. Ini bukan lagi rahsia.
Rancangan gerombolan United Malays National Organisation untuk menipu di kawasan-kawasan Selangor juga telah di ketahui. Beratus ribu nama pengundi telah ditambah untuk mengalahkan calon Pakatan juga diketahui. Beribu-ribu nama pengundi Pakatan Rakyat telah dialih, telah di hilangkan atau di ubah, ini juga diketahui.
Justeru, setelah heboh-heboh tentang keganasan penunjuk perasaan mengenap maka soalan kenapa United Malays National Organisation merancang untuk menipu di PRU13 akan muncul kembali? Tidak dapat dielakkan.
Kereta polis terbalik. Wartawan patah kaki. Azmin Ali buat kecoh. Ambiga penganut Hindu. Pak Samad jual Melayu. Dan seribu satu macam kisah-kisah penglipur lara ini tidak akan menenggelamkan satu persoalan hakiki: Kenapa United Malays National Organisation hendak menipu dalam PRU13?
Pada Sabtu 28 April lalu ada 300,000, ada 250,000, ada 200,000 atau 100,000 - jumlah angka ini di jalan raya - jumlah angka tidak perlu dipertikaikan. Apa yang sahih, beratus ribu warga anak semua bangsa telah turun ke jalan raya menuntut pilihan raya yang adil dan bersih.
Pilihan raya yang adil dan bersih dituntut untuk memastikan kerajaan yang wujud adalah kerajaan yang dipilih oleh rakyat. Bukan kerajaan yang naik takhta kerana penipuan dalam pilihan raya. Berkuasa bukan kerana menipu tetapi kerana sokongan ramai.
Sayugia di ingatkan, seramai 2500,000 yang berdemo itu adalah tanda amaran kepada United Malays National Organisation. Ini adalah tanda amaran dari 250 ribu warga anak semua bangsa. Amaran ini jelas bersuara: Jangan menipu dalam PRU13.
Dua ratus lima puluh ribu yang berarak dari Masjid Negara, dari Jalan Sultan, dari Masjid India, dari KLCC, dari Brickfields dan dari Pasar Seni menuju ke Dataran Merdeka adalah perarakan untuk memberi tanda amaran. Ini adalah tanda amaran yang menuntut agar pengundi pos dilupuskan, masa berkempen dipanjangkan, media dibebaskan dan daftar pengundi dibersihkan.
United Malays National Organisation beringatlah kepada amaran dari 250,000 anak semua bangsa ini. Berwaspadalah agar amaran ini menjadi pedoman untuk membaiki diri. Kerana, jika PRU13 ini masih dijalankan dengan penuh penipuan maka bukan 250,000 warga yang akan turun ke jalan raya, berjuta juta lagi yang akan bangun. Ini bukan satu amaran. Ini adalah satu janji.
No comments:
Post a Comment