KUALA LUMPUR: Rancangan untuk mengadakan protes ‘tose’ di luar rumah Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar pada Ahad ini dibatalkan.
Bagaimanapun, gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), WargaAman yang membuat rancangan tersebut akan tetap menyerahkan tose telur berserta kari kambing di rumah Khalid di Ampang.
Pengerusi WargaAman, A.Rajaretinam berkata, pihaknya mengambil keputusan untuk membatalkan rancangan itu selepas mendapat nasihat daripada Pengerusi Bersama Bersih, Datuk S. Ambiga dan mereka yang lain supaya tidak meneruskan tindakan protes.
“Ambiga menasihati kami supaya membatalkannya kerana tiada gunanya untuk melakukan kesilapan yang sama seperti mereka yang lain dan menceroboh privasi orang lain,” kata beliau, yang merujuk pada beberapa demonstrasi yang diadakan di hadapan rumah Ambiga.
Rajaretinam berkata, gabungan mereka terdiri daripada 20 NGO yang menghormati privasi Khalid dan tidak mahu menganggu penghuni lain.
“Jika terdapat orang yang berhimpun pada Ahad ini, kami tidak akan bertanggungjawab,” katanya.
Gabungan itu pada mulanya memutuskan untuk menyerahkan tose secara percuma pada Ahad ini di hadapan rumah Khalid bagi mempromosikan makanan warisan negara.
Dalam perkembangan lain, Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia atau Ikhlas membatalkan protes susulan “menjual burger” yang sepatutnya akan diadakan di hadapan rumah Ambiga pada 24 Mei ini.
Presiden Ikhlas, Mohd Ridzuan Abdullah berkata, keputusan itu dibuat bagi menghormati undang-undang dan pihak berkuasa.
“Beratus-ratus peniaga telah bersetuju untuk menyertai kami dalam protes itu. Kami bimbang provokasi yang boleh mencetuskan pergaduhan akan berlaku sekiranya terdapat sejumlah besar yang berhimpun di luar rumah Ambiga.
“Oleh itu, kami memutuskan untuk membatalkan protes itu,” kata Mohd Ridzuan.
Mohd Ridzuan berkata, pihaknya tidak akan bertanggungjawab sekiranya terdapat pihak lain yang mahu meneruskan rancangan itu dan berhimpun di luar rumah Ambiga.
Mohd Ridzuan berkata, Ikhlas telah menyerahkan satu memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) pada Jumaat.
Beliau berkata, memorandum itu menuntut penganjur perhimpunan yang diadakan pada 28 Julai tahun lalu supaya membayar sebanyak RM817,205 sebagai ganti rugi kepada para peniaga yang mendakwa mengalami kerugian ekoran protes berkenaan.
“Ini (tuntutan) ditujukan kepada Bersih dan Patriot, kedua-duanya menganjurkan perhimpunan yang berbeza pada 28 Julai tahun lepas,” kata Mohd Ridzuan, sambil menambah, Ikhlas masih membuat pengiraan terhadap kerugian yang dialami peniaga semasa perhimpunan Bersih 3.0 tahun ini.
Beberapa anggota Ikhlas pada 10 Mei lalu mendirikan gerai burger dan membuat serahan makanan itu di luar rumah Ambiga di Bukit Damansara. - mStar
No comments:
Post a Comment