22 June 2012

BERSIH 3.0 : Diplomat Singapura pun ada masa Bersih 3.0 rupanya - Pesuruhjaya Singapura dipanggil mengadap Wisma Putra

PUTRAJAYA: Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman telah memanggil Pesuruhjaya Tinggi Singapura di sini, Ong Keng Yong ke Wisma Putra petang ini untuk menyampaikan rasa tidak senang Kerajaan Malaysia berhubung penyertaan tiga diplomat dari pejabat suruhanjaya berkenaan dalam perhimpunan haram Bersih 3.0 pada 28 April lalu.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Wisma Putra, Anifah menegaskan bahawa pihaknya telah menerima laporan-laporan daripada pihak berkuasa Malaysia yang menjelaskan tentang penglibatan ketiga-tiga diplomat Singapura berkenaan dalam perhimpunan tersebut.
"Sebagai Menteri Luar, saya amat memandang serius akan perkara ini. Semasa pertemuan saya dengan ketua-ketua perwakilan Asean di Kuala Lumpur pada 11 Jun lalu, saya telah membangkitkan isu penglibatan diplomat asing dalam perarakan haram Bersih 3.0.
"Ini kerana penglibatan sedemikian dilihat sebagai aktiviti di luar batasan yang boleh memberi persepsi negatif kepada hubungan baik yang sedia terjalin antara Malaysia dengan negara-negara mereka.
"Saya faham dengan tanggungjawab perwakilan diplomatik yang ada di Malaysia untuk memantau perkembangan di negara ini dan melaporkannya kepada kerajaan masing-masing.
"Namun pada masa yang sama, saya yakin bahawa para diplomat tetap perlu memberi perhatian kepada sensitiviti bagi menghormati negara tuan rumah dan cara bagaimana negara-negara di rantau ini menjamin supaya hubungan baik antara satu sama lain dapat dijaga demi manfaat bersama," ujarnya.
Anifah juga berkata yang beliau yakin bahawa para diplomat tidak perlu terlibat secara langsung dalam perarakan semasa perhimpunan haram tersebut.
"Semasa perjumpaan saya dengan Ong Keng Yong pada petang ini, saya sekali lagi menjelaskan pendirian Kerajaan Malaysia mengenai penyertaan secara langsung oleh diplomat dalam perhimpunan haram Bersih 3.0 sebagai satu langkah yang sama sekali tidak wajar," jelas beliau.
Langkah yang tidak wajar ini, tegas Anifah sememangnya telah menimbulkan pelbagai persepsi negatif dalam hubungan antara Malaysia dan Singapura walupun pada hakikatnya hubungan antara dua negara jiran ini dan rakan dalam Asean kini kian berkembang.
Menurut beliau lagi, pemimpin-pemimpin Malaysia dan Singapura telah menunjukkan komitmen yang jelas untuk terus memperkukuhkan perkongsian antara kedua-dua negara ke tahap yang lebih mantap bagi manfaat bersama.
"Saya turut menegaskan kepada Ong Keng Yong bahawa Kementerian Luar tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan diplomatik yang lebih tegas terhadap diplomat yang didapati telah melanggar batasan norma-norma diplomasi yang terpakai mengikut Konvensyen Vienna Mengenai Perhubungan Diplomatik 1961 dan undang-undang negara ini," tegas Anifah.
Dalam perkembangan berkaitan, Anifah berkata yang beliau sendiri telah berhubung terus menerusi telefon dengan rakan sejawatannya dari Singapura, K. Shanmugam, bagi memaklumkan mengenai pertemuan dengan Ong Keng Yong.
"Semasa perbualan telefon yang positif tersebut, menteri luar Singapura dan saya bersetuju untuk terus menggerakkan usaha-usaha konstruktif bagi mempereratkan lagi hubungan dan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Singapura," ujar Anifah.
Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika ditanya mengenai isu tersebut berkata, siasatan mengenai tiga diplomat Singapura yang didakwa menghadiri perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu sedang dijalankan oleh Kementerian Luar.
"Kita mahu melihat kesahihan laporan tersebut sama ada mereka hadirsebagai pemerhati atau terlibat dalam demonstrasi. Faktor itu yangmesti kita tentukan," kata Najib kepada para pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Menara Datuk Onn di sini pada lewat petang Jumaat. - mStar

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive