16 July 2012

Syarat fidyah jika tinggalkan puasa

Ibadah niyabah wajib disempurnakan

Fidyah berkait rapat dengan ibadah puasa di mana ada beberapa sebab dalam puasa wajib yang jika ditinggalkan akan dikenakan fidyah iaitu meninggalkan puasa kerana tua atau lanjut usia, sakit kronik berpanjangan dan tiada harapan untuk sembuh. Wanita hamil dan yang menyusukan anak terpaksa meninggalkan puasa serta menangguhkan qada puasa sehingga tiba Ramadan berikutnya. 

Fidyah adalah satu bentuk ibadah niyabah (gantian) yang diberi pahala kepada pelakunya. Hukum menyempurnakan ibadah yang tidak sempurna adalah wajib, maka justeru itu hukum fidyah adalah wajib seperti ditentukan syarak.
Fidyah adalah satu bentuk ibadah niyabah (gantian) yang diberi pahala kepada pelakunya. Hukum menyempurnakan ibadah yang tidak sempurna adalah wajib, maka justeru itu hukum fidyah adalah wajib seperti ditentukan syarak. 


Firman Allah SWT bermaksud: “…Dan wajib atas orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 184).

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Barang siapa yang mati sedangkan dia masih mempunyai puasa Ramadan yang belum diqadanya, hendaklah diberi makan seorang miskin bagi setiap hari ditinggalkan bagi pihaknya.” (Hadis riwayat Imam Tirmizi).

Terdapat beberapa keadaan di mana seseorang itu dikenakan fidyah apabila meninggalkan puasa atau sebaliknya: 



  • Seseorang yang meninggalkan puasa kerana bermusafir atau sakit, maka wajib ke atasnya mengqada’ puasa sebelum datangnya Ramadan tahun berikutnya dan jika dilaksanakan dalam keadaan sedemikian maka tiada dikenakan fidyah.    ]




  • Seseorang yang menangguhkan qada puasanya sehingga tiba Ramadan berikutnya kerana cuai atau tidak mengambil berat, maka dia dikira berdosa dan diwajibkan membayar fidyah berserta qada puasa mengikut bilangan hari ditinggalkan.



  • Seseorang sakit berterusan hingga masuk Ramadan yang lain, dia wajib mengqada puasanya saja tanpa dikenakan fidyah.


  • Sekiranya seseorang itu mati sebelum berkemampuan atau berkesempatan mengqada puasanya bukan disebabkan cuai atau sebagainya, maka dia tidak berdosa dan tidak perlu meminta orang lain mengqada bagi pihaknya serta tidak diwajibkan membayar fidyah bagi puasa ditinggalkannya. 




  • Sesiapa yang mati selepas mampu mengqada puasanya, maka walinya (bapa, datuk atau ahli keluarganya) disunatkan mengqada hari-hari ditinggalkan bagi pihaknya. 

    Orang lain yang berpuasa bagi pihaknya adalah sah apabila mendapat keizinan salah seorang ahli keluarga terdekatnya. Jika dia berpuasa tanpa mendapat keizinan dan wasiat daripada si mati, maka puasa ganti itu tidak sah. 




  • Jika tiada seorang pun berpuasa bagi pihak si mati, maka hendaklah dikeluarkan satu cupak makanan bagi setiap hari ditinggalkannya. Makanan itu wajib dikeluarkan daripada harta pusaka ditinggalkannya, sama seperti hutang. Sekiranya dia tidak memiliki harta, maka orang lain boleh mengeluarkan bagi pihaknya dan terlepaslah dosanya.




  • Seseorang meninggalkan puasa kerana tua atau lanjut usia, sekiranya dengan berpuasa akan membawa kesulitan kepadanya, maka wajib membayar fidyah saja berdasarkan kesepakatan ulama. 




  • Seseorang yang tidak berkemampuan untuk berpuasa, sekiranya dia tidak berkemampuan juga untuk membayar fidyah maka tiada apa-apa dikenakan ke atasnya.




  • Seseorang yang mengalami sakit kronik berpanjangan dan tiada harapan untuk sembuh, maka wajib membayar fidyah dengan kesepakatan ulama, kerana puasa tidak lagi diwajibkan ke atasnya.




  • Wanita hamil dan wanita yang menyusukan anak, jika meninggalkan puasa kerana bimbangkan keselamatan anaknya, maka wajib membayar fidyah berserta dengan qada puasa mengikut jumhur ulama. 

    Sebaliknya, jika dia meninggalkan puasa kerana bimbangkan keselamatan dirinya sendiri, maka dia boleh berbuka puasa dan diwajibkan qada’ puasa saja tanpa perlu membayar fidyah.

    Menurut pandangan paling sahih dalam Mazhab Syafii, bayaran fidyah berganda dengan bergandanya tahun. Manakala menurut Mazhab Maliki dan Hanbali, bayaran fidyah tidak berganda mengikut tahun kerana ia dikira sekali gus saja. 

    Bayaran fidyah boleh ditunaikan sepanjang hidup. Namun, lebih baik mempercepatkan pembayarannya sekadar termampu dan seboleh-bolehnya ditunaikan dalam Ramadan kerana pahala pada bulan itu lebih banyak berbanding bulan lain.
     -  Penulis adalah Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR)



  • No comments:

    LinkWithin

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

    Blog Archive