28 August 2012

HUDUD : "Saya tak kata macam tu ..." - Mat Sabu , merujuk kepada laporan Sin Chew Daily

August 28, 2012

KUALA LUMPUR, 28 Ogos — Timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu menafikan laporan muka depan akhbar Sin Chew Daily hari ini yang memetik beliau sebagai berkata, PAS akan melaksanakan hudud jika Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih Putrajaya.

Mohamad yang mesra dengan panggilan Mat Sabu menjelaskan, semasa wartawan Sin Chew Daily menghubungi beliau melalui telefon, perkataan tentang hudud langsung tidak disebut oleh beliau.

“Saya diberitahu oleh seseorang kenalan berbangsa Cina, Sin Chew Daily lapor kenyataan yang berbeza daripada apa yang saya sebut.


“Ketika wartawan surat khabar itu (Sin Chew Daily) menghubungi saya, perkataan tentang hudud langsung tidak keluar.
“Mungkin dia (wartawan) tak faham sangat Bahasa Melayu,” kata Mohamad (gambar) ketika dihubungi oleh The Malaysian Insider sebentar tadi.

Tambah Mohamad, beliau sudah berkali-kali menegaskan bahawa sebarang perubahan yang ingin dibawa PAS mestilah melalui parlimen dan tidak bercanggah dengan perlembagaan persekutuan.

“Apa sekalipun yang ingin dibuat oleh PAS, perlu mendapat persetujuan PR.
“Kami (PAS) tetap dengan perjanjian yang telah dipersetujui oleh kesemua parti dalam PR,” katanya.

Isu hudud menjadi pertikaian diantara PAS dan DAP semenjak PR ditubuhkan pada tahun 2008.
Baru-baru ini, pengerusi DAP, Karpal Singh dan bekas timbalan presiden PAS, Nasharudin Mat Isa bertelagah secara terbuka didalam media dalam isu hudud.

Sebelum ini, MCA Kedah turut menafikan laporan akhbar Sinar Harian yang menyatakan mereka menyokong pelaksanaan hudud dan meminta PAS menyertai Barisan Nasional.

Pengerusinya, Datuk Chong Itt Chew mendakwa wartawan Sinar Harian memutarbelitkan kenyataannya.
“Itu sama sekali tidak benar. Saya menerima panggilan telefon dari wartawan Sinar Harian yang mahukan respon saya tentang kenyataan Tun Dr Mahathir terhadap kerjasama PAS dan Umno dalam pilihanraya akan datang dan apa pendirian MCA dalam isu ini.

“MCA negeri sentiasa mengikut arahan dari ibu pejabat, dan kami tidak akan menerima hukum hudud untuk dijadikan undang-undang di negara ini,” kata beliau kepada The Malaysian Insider baru-baru ini.

Sebelum PR ditubuhkan, PAS, PKN (kini PKR) dan DAP pernah bersama dengan gabungan yang digelar Barisan Alternatif (BA) ditubuhkan menjelang pilihan raya umum (PRU) 1999.

PRU 1999 menyaksikan negeri Terengganu jatuh ketangan PAS dan Kelantan berjaya dikekalkan oleh parti tersebut.

DAP menarik diri daripada BA selepas presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang pada ketika itu menteri besar Terengganu mengumumkan Dokumen Negara Islam turut menyentuh tentang pelaksanaan hudud. -TMI

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive