05 August 2012

Imam Muda Jabbar - Juara Imam Muda Musim Ke 3

IM Jabar - 28 tahun, peserta tertua
IM Jabar – 28 tahun, peserta tertua

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Cabaran Imam Muda Musim Ke-3 mengharungi segala cabaran dan ujian telah pun selesai. Jawapan sudah berada dalam genggaman penonton setia. Tahniah Budiey ucapkan buat Imam Muda Jabbar yang telah berjaya menjadi juara dan Imam Muda Terulung untuk musim ini.

Selama sembilan minggu para peserta Imam Muda berada dalam program realiti yang masih menjadi fenomena di negara ini, akhirnya sang juara telah dinobatkan dalam program Finale Akhir Imam Muda yang disiarkan serentak di Astro Oasis dan Astro Mustika HD pada hari Jumaat yang lalu.

Dewan Jubli, Pusat Penilaian Negara (INSPENS), Bangi menjadi saksi Abdul Jabbar Mohammed Kahar, 28, atau Imam Muda Jabar dinobatkan juara ketiga program realiti tersebut selepas Imam Muda Asyraf dan Imam Muda Hassan sebagai juara untuk dua musim sebelum ini.


Ternyata keputusan lelaki dari Selangor itu meninggalkan keluarga terutamanya isteri dan dua orang anak kecil serta menolak tawaran kenaikan jawatan semata-mata untuk menyertai program Imam Muda musim ketiga nampaknya tidak sia-sia.

Mengulas tentang kemenangannya, Jabar melahirkan rasa syukur yang tidak terhingga kepada Ilahi. Dia menyifatkan kemenangannya sebagai permulaan buat dirinya berdakwah.

“Saya memanjatkan kesyukuran yang tiada terhingga kepada Allah Taala. Rasa syukur dan terima kasih atas segala doa dan sokongan peminat Imam Muda, terutamanya ibu bapa dan keluarga. Kemenangan ini adalah permulaan untuk menghadapi arena dakwah yang lebih mencabar. Biarpun melalui pelbagai cabaran sebelum dan semasa berada dalam program ini, saya nekad untuk terus berjuang atas nama dakwah.

Naib juara disandang oleh Mohammad Hafiz Abdul Khodir, 27, sementara Abdul Rahman Naufal Mohd Hatta, 21, menduduki tempat ketiga.

Terdahulu, Kemuncak Imam Muda yang bersiaran di Astro Oasis (Saluran 106) dan serentak di Mustika HD (Saluran 134) pada malam Jumaat lalu buat pertama kalinya menyaksikan tiga peserta bersaing pada pusingan final.

Mereka ialah Mohammad Hafiz dari Kuala Lumpur, Abdul Jabbar (Perak) dan Abdul Rahman Naufal (Johor).

Juara Imam Muda musim ketiga membawa pulang wang tunai RM100,000 berserta sebuah trofi sumbangan Astro manakala naib juara pula membawa pulang wang tunai RM35,000 sumbangan Astro, RM15,000 sumbangan Bank Islam dan sebuah piala.

Tempat ketiga turut memenangi wang tunai RM15,000 sumbangan Astro dan RM10,000 sumbangan Bank Islam dan sebuah piala.

Bagi yang ketinggalan menonton final Imam Muda, anda masih boleh mengikuti siaran ulangan hari Sabtu, 4 Ogos ini pukul 5.30 petang atau hari Ahad 5 Ogos 2012 pukul 10 pagi di Astro Oasis (Saluran 106).

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive