(Oleh: Aedi Asri)
KUALA LUMPUR 31 Ogos: Lebih 20,000 peserta berpakaian kuning berhimpun di sekitar Dataran Merdeka malam tadi untuk menyertai perhimpunan ‘Janji Demokrasi’, meskipun ia diisytihar bertentangan undang-undang dari pihak polis.
Kawasan di sekeliling Dataran Merdeka juga ditutup dan dikawal ketat, namun himpunan berjalan lancar tanpa sebarang kekacauan. Malah, suasana seperti pesta jelas dirasai.
Walaupun himpunan dijadual bermula hanya pada jam 11 malam, peserta mula memenuhi kawasan sekitar dataran bersejarah itu seawal jam 9 malam.
Sementara menunggu detik jam 12 tengah malam, peserta berlegar di sekitar dataran sambil bersantai dan mengambil gambar. Pelbagai ragam dan aksi dapat dilihat, termasuk persembahan spontan dari pemuzik jalanan.
Kira-kira 11.15 malam, beberapa pemimpin Pakatan Rakyat seperti Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua dan Fuziah Salleh tiba ke kawasan himpunan, disambut dengan sorakan peserta.
Tidak lama selepas itu, peserta mula bergerak untuk berhimpun di dataran bersebelahan bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bersama-sama Sasterawan Negara Datuk A Samad Said (Pak Samad) dan anggota Gabungan Janji yang lain.
Orang ramai juga dilihat menyanyikan lagu “Janji Ditepati” dengan lirik sinikal kepada “Janji Dicapati”.
Pada jam 11.30 malam, Pak Samad mendeklamasikan puisi bertajuk ‘Janji Demokrasi’ menggunakan ‘loud hailer’. Beliau kemudian mengisytihar himpunan itu sebagai berjaya.
Turut bersama anggota 47 NGO yang membentuk Gabungan Janji dan juga pimpinan Pakatan Rakyat, antaranya Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad dan penulis lirik Bob Lokman.
Tiba jam 12 tengah malam, peserta bersama-sama melaungkan ‘merdeka’ dan ‘bersih’ serta menyanyikan lagu ‘Negaraku’. Sebahagian peserta mula bersurai.
Pada satu ketika, keadaan menjadi sedikit tegang apabila sekumpulan penunggang motosikal membunyikan hon sehingga mengganggu peserta.
Namun, keadaan kembali reda selepas peserta yang memenuhi jalan raya membuka laluan kepada kumpulan penunggang motosikal itu untuk berlalu pergi.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=35168
No comments:
Post a Comment