Peguam Farhana Abdul Halim mendakwa seorang isteri kepada tahanan ISA diugut supaya tidak membuat membuat laporan polis yang mendakwa lelaki itu dipukul di dalam kem tahanan.
Beliau mendakwa isteri kepada tahanan tersebut, seorang warga Indonesia, didatangi beberapa orang polis dari Bukit Aman yang meminta supaya wanita berkenaan tidak membuat laporan.
Farhana (kiri) mendakwa, wanita Nunurheni Onim, turut diugut akan ditamatkan visanya jika berkeras membuat laporan polis.
"Beliau didatangi beberapa pegawai polis Bukit Aman yang menyatakan nama suaminya sudah naik (disenarai untuk dibebaskan).
"(Mereka pesan) jika beliau teruskan laporan polis ini akan menyusahkan proses pembebasan suaminya," kata Farhana pada sidang media pagi tadi.
Suami wanita itu, Md Radzali Kassan, merupakan sebahagian daripada 30 orang lain yang masih berada dalam tahanan, kata Farhana.
Sakit batu karang kronik
Dakwanya, Md Radzali juga kini terpaksa membeli sendiri makanan dari kantin Kem Tahanan Kamunting kerana keadaan kesihatannya.
"Suami beliau terus ditahan dan sedang sakit batu karang kronik.
"Untuk jaga kesihatan beliau, beliau sendiri terpaksa keluar duit beli makanan di kem kerana diberi spesifikasi oleh doktor untuk tidak makan makanan berminyak.
"Perkara ini tidak sepatutnya berlaku, kesihatan tahanan adalah tanggungjawab kem," kata Farhana.
B ercakap ketika dihubungi Malaysiakini petang ini, Farhana berkata Nunurheni (kiri) pada 2 Julai lalu membuat laporan polis pertama berhubung dakwaan Razali dipukul.
Nunurheni kemudiannya didatangi tiga orang pegawai polis di kediamannya di Johor Bahru, tiga hari selepas wanita itu membuat laporan polis itu, kata Farhana.
Polis berkenaan memperkenalkan diri sebagai pegawai dari Bukit Aman, tambahnya.
Wanita itu bagaimanapun membuat laporan kedua di ibu pejabat polis Dang Wangi pada 2 Julai lalu, berhubung dakwaan ugutan oleh tiga pegawai polis berkenaan, katanya lagi.
Laporan polis yang dibuat pada 7 Julai lalu menyebut, laporan awalnya pada 2 Julai adalah mengenai dakwaan bahawa Md Radzali dipukul semasa menyertai mogol lapar di kem berkenaan.
"Pada 4 Julai 2012, saya dilawati tiga pegawai yang mengaku pegawai polis dari Bukit Aman di rumah saya di Johor.
"Salah seorang dari mereka yang memperkenalkan diri sebagai Puan Fazlin menyuruh saya menarik balik laporan polis yang saya buat pada 2 Julai.
"Puan Fazlin juga secara tidak langsung mengugut saya dengan menyatakan bahawa saya perlu memberi kerjasama terutamanya kerana visa saya akan tamat pada 20 September 2012," kata Nunurheni dalam laporan tersebut.
Katanya, lagi, individu berkenaan juga mendakwa bahawa tindakan menarik balik laporan polis berkenaan boleh menjamin keselamatan beliau dan suaminya yang berada dalam tahanan.
Nunurheni juga mendakwa, beliau turut dihubungi oleh pegawai Kem Tahanan Kamunting berhubung laporan bertarikh 2 Julai itu.
"Saya diberitahu oleh beliau bahawa kononnya laporan saya itu adalah salah kerana tidak dibuat pada hari kejadian dan tidak dibuat di balai berdekatan tempat kejadian," katanya.- Malaysiakini
No comments:
Post a Comment