JAKARTA 6 Sept. - Tindakan pelakon Julia Perez menjadikan satu daripada kalimah azan sebagai tatu di belakang badannya, menyebabkan dia dikecam oleh Majlis Ulama Indonesia (MUI).
Ketua Umum Pimpinan Pemuda Pusat Muhammadiyah, Dr. Saleh Partaonan Daulay menganggap perbuatan itu sebagai satu penghinaan dan meminta masyarakat mengenakan sekatan sosial terhadap pelakon beragama Islam tersebut.
“Ia adalah perbuatan yang disengajakan dan masyarakat perlu memberi pengajaran kepada dia dengan tidak memanggilnya membuat persembahan.
“Perbuatannya ini bukanlah satu contoh yang baik dan industri hiburan juga perlu bertindak dengan tidak lagi menawarkannya berlakon," katanya ketika dihubungi KapanLagi.com, semalam.
Tatu dengan terjemahan ‘Marilah menuju kejayaan’ tersebut dilukis di bahagian belakang badan pelakon yang turut dikenali sebagai Jupe itu.
Saleh berkata, sebagai seorang selebriti, dia tidak sepatutnya memberi contoh yang buruk.
“Ayat yang dikumandangkan ketika azan tidak sepatutnya dijadikan tatu kerana tindakan itu sama seperti mempersendakan kitab suci al-Quran," katanya. - AGENSI
No comments:
Post a Comment