08 October 2012

Isu undi : Mahathir cemas, takut dihumban ke penjara



KUALA LUMPUR 8 Oktober: Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad panik nasibnya akan serupa seperti Muammar Gaddafi dan Hosni Mubarak jika kerajaan Umno BN digulingkan pada pilihan raya umum (PRU) nanti.


Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berkata, PRU kali ini paling ditakuti Mahathir kerana bimbang kekayaan yang dikaut bersama anak-anaknya dalam Umno BN terhapus jika rakyat memilih Pakatan.


“Pilihan raya nanti bukan saja menentukan hidup mati kerajaan Umno BN tetapi menentukan apakah nasib Dr Mahathir.
“Sebab itu beliau terdesak mempertahankan diri dan anak-anaknya bagi memastikan empayar politik dan ekonomi
keluarga bersama kekayaan mereka terjamin,” katanya kepadaKeadilan Daily.


Tambah Ahli Parlimen Lembah Pantai itu, tuduhan Mahathir bahawa mengundi Pakatan Rakyat umpama menyokong George Soros sebagai reaksi panik kerana takut penyelewengan dan pemusatan harta kekayaan dipersoal rakyat.


“Tuduhan (undi Pakatan bermakna undi Soros) adalah percubaan untuk melepaskan diri dan bersiap sedia untuk ‘menyerang’ seperti dulu,” katanya.

“Sekarang apa yang lebih utama, kita ingin mendesak satu (tribunal) siasatan ditubuhkan untuk menyiasat semua anugerah projek kepada anak-anaknya. Tidakkah dia sedar, tindakan itu boleh menyebabkan Malaysia bankrap?” soal Izzah.


Sementara itu, Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff berkata, Mahathir hipokrit kerana berdiam apabila menerima dana dari Open Society Institute (OSI) yang dimiliki Soros.


“Dr Mahathir hipokrit. Kalau Soros bantu, dia akan diam. Bila Soros tak respon (permohonan biaya dana), dia melenting. Dalam sekelip mata dia menuduh Soros menjadi dalang (kerosakan ekonomi),” kata Yusmadi ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.


Jelas Yusmadi, Soros lebih objektif dalam gerakan keamanan antarabangsa, berbanding Mahathir yang pura-pura menjadi jaguh menentang jenayah perang, hakikatnya takut dihumban ke penjara atas jenayah yang dilakukan terhadap rakyat.


“Dr Mahathir pentingkan diri sendiri. Dia hanya bercakap atas kepentingan dan agendanya sahaja. Dia tidak memikirkan hal negara dan rakyat.


“Ini hanya percubaan serangan seperti mana dahulu. Dia tidak sedar bahawa NGO (diterajui) anaknya sendiri (Marina Mahathir) menerima dana OSI,” kata Yusmadi merujuk pertemuan dua kapitalis itu di Kuala Lumpur pada 2006.


Biro Antarabangsa KEADILAN itu berkata, jika Mahathir berprinsip, pasti dia akan menyelar tindakan anaknya kerana pernah menerajui Majlis AIDS Malaysia yang mendapat dana OSI.


“Saya sendiri hadir ke program penerangan tentang polisi menangani isu dadah Malaysia di Universiti Sains Malaysia pada tahun 2011. Mengapa (Mahathir) tak persoal?” kata Yusmadi.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive