16 October 2012

Kelantan beri bonus satu bulan setengah pada kakitangan awam negeri


KOTA BHARU: Kelantan hari ini mengumumkan membayar bonus satu bulan setengah gaji kepada semua kakitangan awam negeri, di mana setengah bulan gaji dibayar Ogos lalu.

Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengumumkan perkara itu ketika membentang Bajet Kelantan 2013.

Teks belanjawannya dibaca Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Datuk Husam Musa.

Menteri Besar berkata, baki selebihnya akan dibayar pada bulan Disember ini dan Januari 2013.

Katanya juga budaya Kerja Berprestasi Tinggi yang berpegang Ubuddiyyah, Masuliyyah dan Itqan membolehkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) memperolehi empat bintang dalam penilaian “Star Rating” dan menduduki tangga ke empat daripada 13 pejabat SUK di negara ini pada 2011.

Manakala dalam bidang ICT Pejabat SUK juga mencapai taraf lima bintang bagi persembahan Portal Rasmi Kerajaan Negeri dua tahun berturut-turut.

Kerajaan negeri juga melalui bahagian ICT mewujudkan RTV Kelantan membabitkan kos sejumlah RM257,000 bagi menyalur maklumat kerajaan kepada orang ramai.

Menteri Besar juga berkata, bagi memberi keselesaan kepada anggota perkhidmatan awam peruntukan sebanyak RM42.5 juta disediakan bagi membina bangunan Blok 8 dan ia kini sedang giat dijalankan dan dijangka siap tempoh tiga tahun.

Mengenai pencapaian dalam bidang pendidikan katanya, kecemerlangan pelajar di bawah kelolaan Yik memberangsangkan, di mana pada 2011 seramai 379 pelajar berjaya mendapat keputusan 9A dalam PMR, 1,384 mendapat pangkat Mumtaz dalam Peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMU).

Manakala tiga pelajar mendapat 12A, 49 orang (11A) dan 43 (10A) dalam peperiksaan SPM pada 2011.

Pada 2012 Yik mengurus seramai 364 pelajar menyambung pengajian ke luar negara iaitu Mesir, Jordan, Kuwait, Maghribi dan Arab Saudi.

“Kerajaan juga menyediakan RM2 juta kepada Yayasan Kelantan Darulnaim bagi meneruskan kesinambungan menyalurkan penajaan dan bantuan kepada anak-anak Kelantan,” katanya. - Harakah

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive