15 October 2012

Najib perlu sedia untuk jadi Ketua Pembangkang yang baik : DSAI


(Oleh Aedi Asri)
KUALA LUMPUR 15 Oktober: Usaha Umno BN memfitnah Pakatan Rakyat (Pakatan) mempunyai hubungan dengan spekulator mata wang, George Soros akhirnya terpalit kepada mereka sendiri, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Mantan Perdana Menteri, Tun (Dr) Mahathir (Mohamad) kata kalau Anwar jadi PM, negara ini akan dijual kepada Soros.
“Akhirnya beliau (Mahathir) sebenarnya yang jumpa (Soros) dan keluar gambar mereka…tengok-tengok, bukan main lagi (mereka) senyum,” kata Ketua Umum KEADILAN itu disambut sorakan lebih 12,000 hadirin ketika berucap pada Ceramah Mega Jelajah Merdeka Rakyat ke Pulau Pinang di tapak Ekspo Pertanian Seberang Jaya, malam tadi.
Pada masa sama, skrin di tepi pentas turut memaparkan gambar pertemuan Mahathir dan Soros di sebuah hotel dalam negara pada 2006.
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu juga menempelak Umno BN melalui media kawalannya yang setiap hari mengaitkan Pakatan dengan jutawan itu.
Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bukan sahaja bertemu Soros di dalam negara, malah mengaturkan pertemuan khas di New York dua tahun lalu.
“Saya tiada masalah kalau nak jumpa, tapi jangan fitnah kita…ini Utusan Malaysia dan Buletin Utama (TV3) setiap hari buat fitnah,” kata Anwar.
Turut berucap Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul; Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng; Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr Mansor Othman dan Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu.
Dalam pada itu, Anwar turut menceritakan sambutan luar biasa rakyat Sabah ketika jelajah Merdeka Rakyat ke negeri itu Jumaat dan Sabtu lalu.
“Sambutan cukup luar biasa, termasuk di kubu kuat Umno di Lahad Datu…Sabah kini bukan lagi ‘fixed deposit’ mereka,” kata Anwar.
Sebab itu, katanya lagi, Najib mengumumkan peruntukan tambahan RM2.89 bilion kepada Sabah kerana takut kehilangan negeri itu.
“Tapi saya nak cakap kat Najib, it’s too late (ianya sudah terlambat)…beliau perlu sedia untuk jadi Ketua Pembangkang yang baik, InsyaAllah,” sinis Anwar.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=37851

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive