25 October 2012

Pelajar, 17, buang anak dalam tali air ditahan


KANGAR: Polis menahan seorang pelajar berusia 17 tahun kerana dipercayai membuang bayi perempuan yang baru dilahirkannya ke dalam sebatang tali air di Kampung Behor Rotan Pahit, Simpang Empat, di sini, awal hari ini.

Polis turut menahan tiga lagi individu termasuk teman lelaki pelajar berkenaan selepas mayat bayi itu ditemui mati kira-kira jam 1 pagi dalam tali air yang terletak kira-kira tiga kilometer dari rumah pelajar itu. 

Ketua Polis Perlis, SAC Zull Aznam Haron berkata siasatan masih dijalankan bagi memastikan sama ada bayi itu masih hidup semasa dibuang atau dibunuh sebelum dicampak ke dalam tali air itu.


Katanya polis menerima laporan seorang pegawai perubatan Hospital Tuanku Fauziah (HTF) yang curiga dengan pendarahan seorang pelajar perempuan yang telah dirujuk ke hospital itu kira-kira jam 9.20 malam tadi.

Hasil laporan itu, polis dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat telah menjalankan gerakan mencari dan menyelamat bayi berkenaan setelah mendapat maklumat bayi itu dibuang ke dalam tali air.

Zull Aznam berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari untuk membantu siasatan. - Bernama

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive