Pesuruhjaya Pas Perlis, Hashim Jasin
Pesuruhjaya Pas Perlis, Hashim Jasin
Kereta mewah yang dibangkitkan pihak tertentu milik wakil rakyat
Kereta mewah yang dibangkitkan pihak tertentu milik wakil rakyat
KANGAR - Pesuruhjaya Pas Perlis, Hashim Jasin menjelaskan sebuah kereta mewah Porsche Cayman yang didaftarkan atas namanya adalah milik anaknya yang memiliki perniagaan sendiri.

Hashim berkata, perkara itu diperkatakan selepas beberapa blog mendedahkan beliau memiliki kereta berkenaan.

“Ini adalah tindakan individu tertentu sengaja menimbulkan isu pembelian kereta mewah Porsche Cayman bagi memburukkan nama saya selaku pemimpin tertinggi Pas di Perlis," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Hashim, yang juga Adun Sanglang tidak gusar kerana isu berkenaan sama sekali tidak akan menggugat kepercayaan dan sokongan kuat ahli Pas terhadapnya kerana mereka lebih mengenali kehidupannya yang sebenar.
Beliau yakin isu itu timbul kerana pihak terbabit sudah tidak mempunyai modal politik lain untuk menyerangnya menjelang saat-saat akhir menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
“Saya sudah jelaskan kereta itu milik anak saya yang dibeli semasa di England tahun lalu, dengan harga kira-kira RM100,000.
“Dia menggunakan permit import (AP) kereta yang diperuntukkan kepada saya secara sah sebagai wakil rakyat,” katanya.
Menurutnya, anaknya yang bergelar ahli perniagaan mengusahakan perniagaan air sarang burung walet sejak lima tahun lalu, menggunakan kereta itu.

“Saya sendiri tidak pernah memandu kereta berkenaan namun beberapa kali menaikinya ketika dipandu anak dari pejabat saya ke rumahnya di Kangar. Lagipun ramai wakil rakyat lain menggunakan AP diperuntukkan untuk tujuan membeli kereta.

“Tindakan orang yang cuba menyebarkan cerita tidak benar dan berbaur fitnah di laman blog membuatkan saya bertambah kuat serta semangat untuk berusaha lebih gigih meraih sokongan ahli,” katanya.

Hashim berkata, sepanjang penglibatan kariernya dalam politik, satu penggal menjadi ahli parlimen serta tiga penggal sebagai adun, namun lebih selesa hidup secara sederhana.
“Kenderaan utama saya untuk bekerja serta menjalankan aktiviti harian ialah kereta Proton Saga dan Kia Optima. Saya tidak memilih menggunakan kereta mewah seperti dakwaan pihak terbabit,” katanya.
Isu berkenaan mula tersebar di laman blog apabila ada pihak mengesahkan dua saman perangkap had laju menggunakan sistem penguatkuasaan automatik (AES) terhadap Porsche Cayman didakwa menggunakan kad pengenalan pemimpin Pas itu.
Susulan itu, banyak pihak mula membangkitkan isu berkenaan dengan mendakwa wakil rakyat Pas itu sudah mampu memiliki kereta mewah.