17 January 2013

Tiga Beradik Ikut Jejak Ibu Kunjungi Kelab Malam, Bawa Pulang Kekasih

  
Thursday, 17 January 2013 10:38
JOHOR BAHRU: Tiga beradik menjadikan pusat hiburan di sekitar bandar raya ini umpama rumah kedua sejak beberapa tahun lalu berpunca daripada pengaruh negatif ibu mereka berusia 47 tahun yang sehingga kini masih terus mengunjungi pusat hiburan terbabit.
Pada masa sama, tiga beradik terbabit turut membawa pulang kekasih masing-masing ke rumah keluarga di Skudai di sini, malah ibu mereka juga tidak mahu kalah dan turut melakukan perkara sama.

Sejak beberapa tahun lalu, kediaman keluarga berkenaan umpama hotel murah dengan lelaki serta wanita keluar masuk khasnya menjelang awal pagi.


Perkara terbabit diakui ibu kepada tiga beradik berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Safiah.
Ketika ditemui, Safiah berkata, dia menganggap berhibur di pusat hiburan selain membawa kekasih pulang ke rumah sebagai hiburan semata-mata.
"Ketiga-tiga anak berusia 20, 23 dan 25 tahun, yang bongsu adalah perempuan dan dua lagi lelaki. Pada mulanya, saya kerap ke pusat hiburan untuk melepaskan tekanan selepas ditinggalkan suami 20 tahun lalu.
"Bukan mudah menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal selain perlu berdepan tohmahan masyarakat. Saya tertekan dan masalah utama ialah bagaimana mahu mendapatkan wang untuk menyara anak.
"Ketika itulah saya mula pergi ke pusat hiburan. Di situ, saya berkenalan dengan pengunjung yang lebih bersifat terbuka dan saya mula bersosial dengan ramai lelaki," katanya, semalam.
Menurut Safiah, dia juga kerap bertukar pasangan dan apabila anaknya meningkat remaja, mereka juga mula mengikutnya untuk ke pusat hiburan.
Katanya yang bekerja di syarikat swasta di bandar raya ini, dia tidak pernah mengajar anak mengikuti jejak langkahnya namun ia terjadi tanpa disedari.
"Saya tidak mampu melarang mereka memandangkan saya juga masih berkelakuan begitu, kehidupan malam kami sudah sebati dengan diri dan sukar meninggalkannya.
"Kebiasaannya, selepas habis bekerja pada jam 11 malam, kami berempat berkunjung ke pusat hiburan untuk berborak selain meluahkan masalah hidup masing-masing.
"Hubungan antara saya dan anak sangat rapat kerana saya hanya ada mereka dan begitu juga dengan mereka," katanya.
Menurut Safiah, dia juga seperti ibu lain dan mahukan yang terbaik untuk anak. Dia juga berkeinginan meninggalkan hobi terbabit, namun mengakui sukar dan memerlukan masa.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Johor (JAJ) Zamri Kambari berkata, dalam kes ini, pihaknya akan menjalankan siasatan berkaitan perbuatan empat beranak itu yang dikatakan turut membawa pulang pasangan masing-masing ke rumah.
"Mencari ketenangan hati bukanlah dengan berkunjung ke pusat hiburan serta bertukar pasangan kerana banyak lagi cara yang boleh dilakukan termasuk mendekatkan diri kepada Allah SWT," katanya.
- Harian Metro

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive