Saudagar karpet Deepak Jaikishan mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan individu yang bertanggungjawab mengarahkan Boustead Holding untuk mengambil alih kepentingan dalam syarikatnya, Astacanggih Sdn Bhd.

"Arahan diberikan daripada Datuk Seri Najib kepada pengerusi Boustead secara langsung. Saya tahu perkara ini, sebab saya berada di sana sewaktu arahan diberikan," katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat PAS hari ini.

Deepak mendakwa tindakan itu dibuat kerana Najib "tidak mahu didedahkan bahawa ahli keluarganya telah mendapat duit untuk meluluskan pemindahan tanah ini kepada kita".

Sehubungan itu juga, beliau menggesa Menteri Pertahanan Datuk Seri Zahid Hamidi menarik semula saman ke atas Pengarah Strategik PKR Rafizi Ramli berhubung urusniaga tanah berkenaan.

"Saya berharap Datuk Seri Zahid dapat menarik balik tindakan (mahkamah) terhadap Rafizi. Beliau tak tahu apa pun.

"Apa-apa tindakan (sepatutnya) dikenakan terhadap Datuk Seri Najib kerana dia telah mengarah perkara ini berlaku.

"Jadi, saya minta kepada Datuk Zahid, tak payah ambil tindakan kepada Rafizi," katanya lagi dalam sidang media selepas pertemuan dengan pemimpin kanan PAS hari ini.