09 February 2013

Keyakinan Najib mencurigakan - Mahfuz


Abdul Aziz Mustafa,09 Feb 2013 Harakah Daily
KUALA LUMPUR: Keyakinan terlampau Perdana Menteri bahawa Barisan Nasional (BN) akan menang pilihan raya menimbulkan pelbagai keraguan, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar).

"(Datuk Seri) Najib (Tun Razak) hari ini mahu kita menghormati keputusan rakyat dalam pilihan raya umum akan datang dan jangan timbulkan huru-hara.

"Apa maksud beliau? Mengapa dia terlampau yakin BN akan menang?" beliau mempersoalkan.

Mahfuz menyifatkan keyakinan luar biasa Najib itu menimbulkan pelbagai tanda tanya dan keraguan yang penuh dengan kecurigaan.

"Adakah gambaran bahawa Najib benar-benar pasti BN akan menang itu didorong oleh lengkapnya perancangan dan persiapan di luar amalan demokrasi yang bersih untuk memastikan kemenangan BN?" Ahli Parlimen Pokok Sena itu mempersoalkan.


Mahfuz juga mempersoalkan dakwaan Najib kononnya beliau yakin Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkemampuan untuk memastikan pilihan raya yang diadakan adil dan bersih.

"Najib berbohong kepada rakyat.

"Tak mungkin pilihan raya adil dan bersih dapat diadakan jika daftar pemilih tidak bersih, antaranya seperti yang kian terdedah hasil siasatan Suruhanjaya Diraja menyiasat isu pendatang asing di Sabah," kata beliau.

Mengulas lanjut kenyataan Najib supaya pembangkang menerima keputusan pilihan raya umum dan tidak mencari alasan untuk menimbulkan huru-hara sekiranya mereka kalah dalam pilihan raya itu, Mahfuz berkata pembangkang tidak pernah mengadakan huru hara kerana tidak menerima keputusan pilihan raya.

"Yang selalu membuat pakatan jahat kerana tidak dapat menerima keputusan pilihan raya ialah Umno dan Barisan Nasional.

"Siapa rasuah dan beli wakil rakyat supaya melompat parti bila kalah pilihan raya?" katanya.

Dengan apa yang berlaku sejak selepas pilihan raya 1959 di Terengganu dahulu sehinggalah projek besar-besaran merasuah wakil rakyat supaya lompat parti selepas pilihan raya 2008 dahulu, Mahfuz yakin rakyat dapat melihat dengan jelas parti mana yang tidak boleh menerima kekalahan.

"Malah, sehingga kini pun masih tidak berhenti tuduhan bahawa beberapa pemimpin tertinggi Umno yang mahu menggulingkan Tunku Abdul Rahman menjadi dalang peristiwa 13 Mei 1969 selepas Perikatan dan Umno hilang banyak kerusi dalam pilihan raya tahun tersebut," katanya.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive