February 03, 2013
KUALA LUMPUR, 3 Feb — Datuk Musa Aman hari ini mengakui mempunyai talian persaudaraan dengan warga Filipina Manuel Amalilio yang dikehendaki penguatkuasa negara tersebut kerana terlibat dalam kes penipuan bernilai jutaan peso tetapi Ketua Menteri Sabah itu menafikan dakwaan beliau menyekat penghantaran pulang saudaranya itu ke Manila.
Akhbar berpangkalan di Manila, The Star Filipina (PhilStar), melaporkan dua hari lalu Amalilio merupakan anak saudara kepada Musa dengan memetik pendedahan dari Malaysia oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Ya, ibunya adalah sepupu sulung Musa,” kata Anwar kepada akhbar Filipina itu sambil menambah “nama sebenar Amalilio ialah Kamal bin Said dan dilahirkan di Beaufort, Sabah”.
Bekas timbalan perdana menteri itu melakar gambar hubungan keluarga Musa dengan penjenayah Filipina tersebut dan menamakan nama ibu Amalilio sebagai “Zubaidah Omar, sepupu kepada Ketua Menteri Sabah. Haji Aman (bapa Musa) dan Haji Omar (bapa Zubaidah) adalah adik-beradik.”
Walaubagaimanapun, Musa berkata dia hanya baru mengetahui tentang hubungan keluarganya dengan Amalilio dan disifatkan beliau sebagai “saudara jauh”.
“Saya mempunyai sebuah keluarga yang besar dan hanya baru-baru ini saya dimaklumkan bahawa individu itu adalah saudara jauh,” kata beliau dalam satu kenyataan media ringkas hari ini.
“Sama ada benar atau tidak Amalilio adalah saudara, pihak berkuasa perlu menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan yang perlu.”
Musa juga berkata beliau menyedari penangkapan Amalilio hanya melalui laporan berita, serta baru sahaja sedar diheret bersama dakwaan yang mengatakan beliau telah menghalang penjenayah tersebut daripada dihantar dari Sabah ke Manila.
“Izinkan saya membuat penjelasan bahawa kerajaan negeri Sabah tidak akan campur tangan dalam perkara ini,” kata Musa. “Ini adalah urusan antara pihak polis dan Interpol.”
Beliau menegaskan bahawa tiada siapa yang dapat membatasi undang-undang dan mengalu-alukan tindakan undang-undang diambil keatas mereka yang bersalah.
Beliau berharap kedua-dua negara dapat bekerjasama untuk menyelesaikan perkara tersebut dengan cepat.
Sebelum ini, laman web berita Filipina, ABS-CBN menyiarkan kenyataan Setiausaha Dalam Negeri Filipina, Mar Roxas bahawa Musa menyekat ejen Biro Penyiasatan Nasional (NBI) dari membawa individu dikehendaki polis, Manuel Karingal Amalilio pulang ke Filipina.
Amalilio dikehendaki polis Filipina kerana didakwa menipu lebih 15,000 orang membabitkan 12 bilion peso (RM895 juta) dan turut dikatakan sebagai anak saudara Musa, tetapi dinafikan oleh polis Malaysia.
Menurut laporan tersebut, Amalilio yang memiliki Futures Group dilaporkan mengaku sebagai warganegara Malaysia dan menggunakan nama alias Mohammad Suffian Saaid.
Amalilio ditangkap oleh imigresen Malaysia pada 22 Januari lalu kerana menggunakan pasport Malaysia dan kad pengenalan palsu.
No comments:
Post a Comment