Hishammuddin Tun Hussein
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein melihat senjata anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang mengawal kawasan Kampung Tandou di Lahad Datu hari ini. - Foto Bernama
LAHAD DATU - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kerajaan Malaysia masih memberi ruang bagi mencari jalan terbaik menyelesaikan insiden pencerobohan sekumpulan rakyat Filipina ke negara ini melalui Kampung Tanduo, dekat sini sejak 12 Februari lalu.
"Saya boleh mengesahkan bahawa ruang masih diberi kepada pihak berkenaan dan juga pihak lain yang boleh membantu dalam pendekatan kita mencari penyelesaian terbaik," katanya.
Beliau berkata, ruang yang diberikan itu tidak bermakna kerajaan tunduk kepada sesiapa tetapi bagi memastikan insiden pencerobohan itu tidak menjurus kepada sesuatu yang tidak diingini seperti pertumpahan darah dan kehilangan nyawa.
"Dalam apa juga keadaan fokus utama kita ialah untuk menyelesaikan perkara ini dengan cara yang  terbaik. Ini modus operandi kita... cara kita ialah untuk menyelamatkan nyawa.
"Sekiranya ada pihak tertentu atau pihak lain yang boleh membantu mereka yang berkenaan, rasional, dan bekerjasama dengan kita, lebih cepat perkara ini dapat diselesikan. Saya menasihatkan semua pihak agar membenarkan pihak berkuasa untuk menjalankan tugas mereka," katanya sambil menasihatkan supaya menghentikan spekulasi dan khabar angin mengenai isu pencerobohan itu.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas diberi taklimat terkini berhubung insiden pencerobohan itu di Komtek Sahabat 16 Batalion 17 Pasukan Gerakan Am (PGA) Lahad Datu di Tungku di sini hari ini. Turuh hadir Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam  Datuk Salleh Mat Rashid dan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib.
Selasa lepas, pasukan keselamatan menemui sekumpulan warga asing bersenjata berpakaian tentera mendarat di pesisir Lahad Datu dan polis telah mengenal pasti kumpulan warga Filipina yang mendarat di Kampung Tanduo itu sebagai pewaris berketurunan 'Raja Sulu' dari Selatan Filipina.
Hishammuddin berkata, pendekatan pihak berkuasa Malaysia dengan membuka pilihan yang ada dalam menangani masalah berkenaan ialah bagi mengelak insiden itu daripada dipolemik atau dipolitikkan pihak tidak bertanggungjawab di dalam negara dan antarabangsa.
"Saya harap pihak yang terlibat jangan desak pihak berkuasa ke tahap itu. Tetapi kalau pihak berkuasa terpaksa melakukannya, demi kepentingan kedaulatan, marwah kita, saya rasa kita tak ada masalah...," katanya.
"Kita dah kata lebih awal lagi bahawa kedaulatan dan keselamatan Sabah tidak akan dikompromi. Kalau itu tidak dapat diterima pihak berkenaan, kita yang mengawal sekarang apabila tiba masanya, saya terpaksa melakukan apa yang patut," katanya.
Beliau menegaskan insiden itu bukanlah suatu mainan dan meminta media massa dan media sosial supaya tidak melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan operasi pihak berkuasa untuk menyelesaikan  masalah itu.
Menteri itu turut mengulangi kenyataannya di Kota Kinabalu semalam bahawa kedaulatan negara dan keselamatan rakyat Sabah tetap diutamakan dan tidak akan dikompromi serta meminta semua pihak supaya memberi sedikit masa kepada  pihak berkuasa untuk menyelesaikan masalah itu.
Hishammuddin menjelaskan jumlah sebenar anggota kumpulan warga Filipina yang mendarat di Kampung Tanduo tidak lebih daripada 150 orang dan bukannya 1,000 orang seperti diuar-uarkan beberapa pihak.
Beliau berkata Kampung Tanduo yang diduduki kumpulan itu terletak di kawasan terpencil, kira-kira 130 kilometer dari Lahad Datu.
"Pencerobohan itu juga tidak melibatkan orang kampung dan tiada rakyat Malaysia ditahan atau diculik dan apa yang pihak berkuasa kepung sejak hari pertama tidak melibatkan dan tiada risiko kepada rakyat kita...saya harap spekulasi dan khabar angin dapat dihentikan."
Beliau berharap menerusi perkembangan terkini dan rasmi yang dikhabarkannya dalam lawatannya pada hari ini dapat menghentikan segala khabar angin dan spekulasi sama ada dari dalam negara dan luar negara.
Hishammuddin berkata, lawatannya itu juga bagi memperjelaskan beberapa perkara yang dihebahkan di media massa dan laman sosial sebagai tidak berasas selain meninjau kedudukan anggota pasukan keselamatan yang sedang bertugas sepanjang operasi itu.
Beliau menegaskan semua pihak harus memberi ruang kepada agensi keselamatan negara yang telah dilatih serta bertindak profesional dalam menjalankan tugas-tugas menangani kejadian pencerobohan itu.
Sementara itu, beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim  Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk Angkatan Tugas Bersama 2, sentiasa bersiap siaga dalam  mengawal sempadan negara terutama di kawasan pantai timur Sabah bagi menyekat penyusupan baharu.
Kerajaan melalui Wisma Putra dan agensi risikan Malaysia dan Filipina sentiasa bekerjasama baik dan berhubung rapat berhubung isu berkenaan. - Bernama