26 February 2013

TERKINI LAHAD DATU - "Kita akan tamatkan stand-off sekarang ini" - Timb KPN


INSIDEN PENCEROBOHAN AKAN DISELESAI SECEPAT MUNGKIN 

LAHAD DATU, 26 Feb - Polis memberi jaminan bahawa insiden pencerobohan kumpulan bersenjata rakyat Filipina di Kampung Tanduo, kira-kira 130km dari sini, akan ditamatkan secepat mungkin.

Tanpa menyatakan bilakah sebenarnya ia akan berakhir, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Khalid bin Abu Bakar berkata episod yang bermula sejak 12 Feb lepas akan diselesaikan secepat mungkin dan menasihati orang ramai supaya tidak bimbang.

Katanya tindakan boleh diambil pada bila-bila masa terhadap 150 orang penceroboh yang masih bertahan dan enggan keluar dari Kampung Tanduo.


"Kita akan tamatkan stand-off sekarang ini. Cuma saya menasihati orang ramai supaya jangan bimbang dan jangan ragu-ragu. Insya-Allah, kita selesaikannya dengan secepat mungkin," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tan Sri Dato’ Sri Khalid juga berkata polis tidak tahu menahu mengenai dakwaan sesetengah pihak kononnya empat anggota keluarga Kiram (kerabat Kesultanan Sulu) telah ditangkap oleh pihak berkuasa.

Tan Sri Dato’ Sri Khalid menjelaskan kepada pemberita bahawa insiden pencerobohan kumpulan yang mengaku Askar Diraja Kesultanan Sulu masih di bawah tanggungjawab Polis Diraja Malaysia.

Beliau berkata isu berkenaan masih ditangani sebagai isu keselamatan negara dan operasi turut melibatkan agensi keselamatan lain.

Setakat ini tidak terdapat sebarang unsur luar yang campur tangan dalam usaha polis menyelesaikan isu berkenaan dan menegaskan pihaknya tidak akan membenarkan sebarang campur tangan seperti itu menganggu urusan keselamatan negara. - BERNAMA

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive