10 March 2013

Dakwaan keganasan pasukan keselamatan terhadap warga Filipina - Manila minta penjelasan Putrajaya

KUALA LUMPUR, 10 Mac —Manila hari ini mahu kerajaan Malaysia menjawab berkenaan tuduhan warga Filipina di Sabah didera dan ditembak dengan sengaja oleh anggota keselamatan dalam pencariannya mencari penceroboh Sulu.


Timbalan jurucakap presiden Abigail Valte berkata demikian dalam laporan ABN-CBS tengah hari tadi bahawa Malacanang menerima beberapa dakwaan terdapat "layanan tidak berperikemanusiaan" ke atas warga Filipina yang tidak bersalah, yang tidak ada kaitan dengan penceroboh yang mendakwa sebagai tentera kepada Kesultanan Sulu.
"Laporan sebegini tidak dapat diterima, sebab itu Jabatan Hal Ehwal Luar akan berhubung dengan rakan dari Malaysia untuk membincangkan perkara ini," katanya yang dilaporkan menerusi laporan online.
Valte berkata, laporan dari pelarian Filipina yang mengatakan anggota polis Malaysia menggunakan kekerasan yang tidak sepatutnya dalam pencarian mereka memburu mereka yang mempunyai kaitan dengan Sultan Sulu itu.
Seorang pelarian berkata, lelaki Filipina ada yang diheret dari rumah mereka dan dipukul, dan memaksa mereka berlari sebelum polis menembak ke arah mereka, walaupun mereka menunjukkan dokumen imigresen mereka yang sah untuk tinggal di Malaysia.
Laporan juga dikatakan sampai ke Sultan Jamalul Kiram III, yang mendakwa dirinya sebagai Sultan Sulu, dimana adiknya Agbimuddin Kiram mengetuai pencerobohan di Sabah, mengatakan warga Malaysia berketurunan Tausug juga dibelasah di tangan polis, termasuk mereka yang memegang MyKad.
Orang Tausug juga dikenali sebagai orang Suluk yang datang dari kepulauan Sulu di Filipina.
"[Rakyat Malaysia] mendakwa mereka sudah beri 'toleransi maksima', tetapi itu tidak benar. Mereka memberi 'keganasan maksima' dan itu yang sedang berlaku. Perempuan, termasuk wanita mengandung, dan kanak-kanak juga ditembak oleh tentera Malaysia," kata anak Jamalul, "puteri raja" Jacel Kiram, yang dilaporkan di Manila Standard Today.
Jurucakap Sultan, Abraham Idjirani mendakwa perempuan mengandung turut dipukul ketika operasi, menyebabkan beliau terpaksa melahirkan anak tersebut ketika ditahan di Kampung Tanduo, Lahad Datu, tempat di mana penceroboh itu menyembunyikan diri.
"Wanita mengandung itu melahirkan anaknya di balai polis, tetapi anaknya mati selepas itu. Orang ramai diheret oleh pihak polis," kata Idjirani, menurut Manila Standard Today. "Mereka bukan sahaja menahan orang Filipina dan penyokong sultan, tetapi warganya sendiri."
Dalam laporan Philippine Daily Inquirer, seorang warga Filipina berusia 32 tahun berkata abangnya ditembak mati di tangan polis Malaysia semasa mencari mereka yang disyaki penyokong Kiram.
"Mereka mengheret lelaki ke luar rumah, tendang dan pukul mereka," katanya melalui panggilan telefon dari Patikul, Sulu, selepas beliau tiba di Filipina Jumaat lalu bersama 200 pelarian lain.
Taradji mendakwa pasukan keselamatan Malaysia menyerang kampung di daerah pesisiran pantai Sandakan di mana beliau tinggal di situ pada malam Isnin, dan di situ abangnya Jumadil ditembak mati selepas diarahkan pihak polis untuk berlari sepantas mungkin.
Menurut The Inquirer, seorang pegawai berkata kira-kira 1,000 orang pelarian meninggalkan Sabah untuk ke Sulu dan Tawi-Tawi, sementara lebih ramai lagi akan meninggalkan Malaysia apabila pihak berkuasa meneruskan operasi menghalau penceroboh Sulu.
Taradji jugadilaporkan berkata pihak berkuasa Malaysia sengaja membiarkan mereka yang ditahan kelaparan jika mereka disyaki mempunyai kaitan atau menyokong pencerobohan Sulu.
"Walaupun anda mempunyai dokumen yang sah, anda juga akan ditahan. Jika anda bertuah untuk tiba di penjara, anda mati kelaparan kerana mereka tidak akan memberi makanan kepada anda," katanya menurut The Inquirer.
Malaysia melancarkan serangan besar-besaran sejak Selasa pagi, termasuk serangan udara yang menyaksikan bom dan dan artileri menghujani Kampung Tanduo, tempat penceroboh itu berlindung.
Sehingga semalam, jumlah kematian penceroboh Sulu mencecah 53 orang menurut laporan pihak berkuasa Malaysia, dengan 32 orang terbunuh dalam pertempuran berikutan serangan udara Selasa lalu.



Persatuan: Keturunan Sulu jangan terpengaruh khabar angin

Persatuan Suluk Bersatu Sabah cawangan Sandakan hari ini menafikan dakwaan ribuan warga Filipina meninggalkan negeri itu kerana bimbang dikenakan tindakan ekoran insiden pencerobohan militan bersenjata Sulu di Lahad Datu.

Pengerusinya Jamal Ali berkata sebaliknya, pemantauan yang dilakukannya mendapati warga Filipina terbabit yang dikesan mula meninggalkan Sabah sejak semalam melakukannya secara sukarela.

"Saya sendiri turun untuk memantau pergerakan mereka dan mendapati mereka yang kebanyakan tidak memiliki dokumen sah serta individu yang memiliki dokumen mengakui pulang bersama anak dan keluarga secara sukarela dalam keadaan baik," katanya ketika ditemui di jeti nelayan di pasar umum Sandakan di Sandakan hari ini.

Jamal, yang menaungi persatuan dengan lebih 300 anggota berketurunan Suluk berkata warga Filipina sepatutnya tidak terpengaruh dengan khabar angin berhubung kekerasan yang mungkin digunakan kerana yakin pihak keselamatan akan menangani isu itu dengan berhemah.

Beliau berkata demikian mengulas tulisan sebuah portal berita yang memetik laporan sebuah media Filipina yang mendakwa ribuan warga negara itu mula melarikan diri dari Sabah kerana bimbang akan dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa Malaysia.

- Bernama


Polis nafi tembak pendatang Filipina di Sandakan
Ketua polis Sabah Datuk Hamza Taib menafikan laporan media Filipina bahawa pasukan keselamatan menganiaya dan membunuh pendatang Filipina di Sandakan.

Media Filipina boleh sebut apa saja, namun fokus operasi ini hanya di dua kawasan – Kampung Tanduo dan Tanjung Batu di Lahad Datu, katanya dalam satu sidang media di Felda Sahabat Residence pagi ini.

Polis hanya menjalankan siasatan biasa berhubung pencerobohan tersebut di kawasan lain, selain dua kawasan tersebut.

Beliau juga menafikan dakwaan bahawa warga Filipina dibunuh di Sandakan, selain dari kumpulan yang terbunuh dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan Malaysia di Lahad Datu dan Semporna.

"Tiada apa yang berlaku di Sandakan, jadi apa yang saya perlu perjelaskan," soalnya.

The Philippine Inquirer semalam melaporkan pasukan keselamatan Malaysia mengheret lelaki Filipina keluar dari rumah mereka di Sandakan dan menyuruh individu berkenaan melarikan sebelum melepaskan tembakan ke atas lelaki berkenaan.

Sementara itu, ketua polis daerah Semporna Mohd Firdaus Abdullah berkata pasukannya menahan "ramai" pendatang asing Filipina tanpa izin di kawasan tersebut.

Penahanan berkenaan berlaku selepas enam pegawai polis terbunuh dalam satu serang hendap di Kampung Simunul dan Kampung Sri Jaya, Semporna, seminggu yang lalu.

Firdaus bagaimanapun enggan menyatakan jumlah sebenar yang ditahan.

Tahanan berkenaan kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Imigresen, katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Hamzah berkata sehingga kini seramai 85 orang ditahan di seluruh Sabah bawah  Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang dibaca bersama dengan Seksyen 130(C) Kanun Keseksaan berhubung perbuatan pengganas.

Seramai 66 orang lagi ditahan kerana cuba memasuki kawasan operasi di Kampung Tanduo dan Tanjung Batu, di Lahad Datu sejam operasi bermula pada hari Selasa.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive