PETALING JAYA: Sultan Sulu, Sultan Jamalul Kiram III mengarahkan pengikut-pengikutnya supaya tidak berganjak dari Sabah dan melancarkan serangan gerila terhadap pasukan keselamatan Malaysia.
Menurut laporan media, Kiram berkata berundur dari Sabah bukanlah satu pilihan untuk tentera-tenteranya.
"Mereka sudah di tanah air mereka jadi mengapa kembali?" kata Kiram kepada pemberita di kediamannya di Taguig, menurut laporan 'The Philippine Star'.
Sementara itu, jurucakap Sultan Sulu, Abraham Idjirani yang menyifatkan tindakan memasuki Sabah sebagai satu 'perjuangan' berkata tenteranya akan meneruskan 'perjuangan' mereka.
Katanya, kesultanan Sulu telah menarik balik perintah gencatan senjata yang dikeluarkan dan tentera-tentera Diraja telah diarahkan melancarkan operasi secara "serang dan lari" terhadap pasukan keselamatan Malaysia.
Menurut laporan, Kiram berkata adik lelaki kepada Sultan Sulu, Agbimuddin Kiram dan pengikut-pengikutnya masih berada di Sabah dan ini bertentangan dengan laporan dari Malaysia yang mendakwa mereka telah melarikan diri.
Idjirani juga mendakwa Agbimuddin dan kumpulan pengikutnya masih kuat berdasarkan perbualan telefon dengan Agbimuddin pada malam Sabtu.
Katanya, tentera Diraja yang pada masa ini mempunyai 170 orang telah berpecah kepada tiga kumpulan bagi mengelak daripada pesawat pengintip yang berlegar di sekitar Lahad Datu.
Kereta Kebal tiba di Lahad Datu
KERETA kebal tiba di Lahad Datu hari ini sebelum dibawa ke FELDA Sahabat dengan diiringi trak tentera dan polis untuk membantu Ops Daulat.
Enam sekeluarga berjalan kaki 10 jam dari Tanjung Labian ke pusat pemindahan
LAHAD DATU: Selepas 11 hari bersembunyi di hutan dengan hampir setiap hari mendengar bunyi tembakan, seorang bapa akhirnya nekad membawa isteri dan empat anak kecilnya berjalan kaki sejauh 10 kilometer ke pusat pemindahan sementara di Dewan Fajar Harapan.
Tindakan meninggalkan rumah di kampung Tanjung Labian hanya dibuat Rustam Edan, 55, semalam selepas mereka kehabisan bekalan makanan dan mengambil kira faktor keselamatan anak-anaknya yang berusia antara 4 dan 12 tahun.
"Kami keluar dari rumah jam 5 pagi dan selepas 10 jam berjalan kaki, kami akhirnya tiba di Dewan Fajar Harapan pada jam 3 petang," katanya ketika ditemui di pusat pemindahan itu.
Rustam yang bekerja sebagai penjaga ladang kelapa sawit milik saudaranya di kampung itu, berkata ketika itu semua penduduk kampung sudah meninggalkan rumah mereka berikutan kehadiran kumpulan pengganas Sulu di Kampung Tanjung Batu.
"Kami anak beranak yang masih tinggal di situ," katanya yang memberi alasan tidak tahu untuk tinggal di mana sekiranya mereka berpindah.
Menceritakan semula pengalaman yang dihadapi keluarganya, Rustam berkata, setiap kali mendengar bunyi tembakan, beliau akan membawa keluarganya bersembunyi di dalam hutan.
"Kami hanya kembali ke rumah jika tiada sudah bunyi tembakan," katanya.
Beliau berkata, mereka mengambil masa yang lama untuk tiba di dewan itu kerana terpaksa melalui jalan kampung dan banyak berhenti akibat penat.
Sebaik tiba di dewan pemindahan, petugas Jabatan Kesihatan menjalankan pemeriksaan kesihatan terhadap Rustam, isteri dan anak-anaknya yang masing-masing berusia 12, 9, 3 tahun dan lapan bulan.
Kesemua mereka yang dalam keadaan lesu diberi makanan dan kelengkapan lain. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment