PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa rekod Imigresen menunjukkan penulis blog, Papa Gomo dan Wan Muhammad Azri Wan Deris adalah individu yang sama.
Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mendakwa rekod Imigresen menunjukkan tarikh lahir Wan Muhammad Azri adalah sama dengan kad pengenalan polis dan kad pengenalan awam miliknya.
"Rekod Imigresen pada 2010 menunjukkan tarikh lahir Wan Muhammad Azri ialah 21 Januari 1983 dan maklumat berkenaan sepadan dengan kedua-dua dokumen miliknya iaitu kad pengenalan awam dan kad pengenalan polis,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR pada Selasa.
Bagaimanapun satu daripada rekod berkenaan, tidak menunjukkan bahawa kedua-dua identiti tersebut digunakan dalam pasport yang sama, namun Rafizi mendakwa surat- menyurat mahkamah membuktikan alamat Wan Muhammad Azri untuk kedua-dua identiti, adalah sama iaitu di Danau Kota.
"Saya akan bincang dengan peguam sama ada maklumat ini (alamat Wan Muhammad Azri) boleh didedahkan atau tidak, kerana perkara ini telah masuk mahkamah,” katanya.
Rafizi juga mendakwa ahli keluarga Papa Gomo termasuk bekas isterinya, Belinna akan muncul semasa perbicaraan kes saman ke atas penulis blog itu bagi membuktikan bahawa beliau sememangnya Wan Muhammad Azri.
Minggu lalu, Anwar telah memfailkan saman fitnah terhadap bloger Papa Gomo berhubung video seks yang didakwa melibatkan Ketua Pembangkang itu.
Anwar menuntut ganti rugi RM100 juta daripada bloger, yang namanya dinyatakan dalam tuntutan sebagai Wan Muhammad Azri Wan Deris.
Pada 16 Mac www.papagomo.com memaparkan gambar tunggal hitam-putih yang menunjukkan bahagian belakang seorang lelaki berbogel di dalam bilik hotel.
Paparan itu juga menyediakan pautan ke laman blog lain dipanggil "Aksi si Raja Goyang", yang menyiarkan 13 gambar yang menunjukkan dua lelaki meraba-raba dan mencium satu sama lain, kononnya diambil dari video yang sama.
Anwar telah menafikan bahawa beliau adalah lelaki dalam video berkenaan
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=48425.
KEADILAN persoal SPR benarkan Papagomo mengundi 2 tempat
(Oleh Aisha Geoffrey)
PETALING JAYA 26 MAC: KEADILAN mempersoal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana membenarkan Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo didaftar dalam senarai pemilih dengan tarikh lahir berbeza-beza sehingga menimbulkan kekeliruan rakyat.
“Ini menimbulkan tanda tanya yang amat serius apakah kesilapan nama dan tarikh lahir di bawah kad pengenalan polis yang sedikit berbeza disengajakan untuk menyukarkan ia dikesan?” kata Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli.
Rafizi sebelum itu melalui semakan dengan rekod sistem kawalan Imigresen mengesahkan tarikh lahir Wan Muhammad yang juga dikatakan sebagai blogger Papagomo di bawah kad pengenalan polis dan kad pengenalan awam adalah sama iaitu, 21 Januari 1983.
“KEADILAN berjaya mendapatkan paparan skrin rekod Imigresen Papagomo yang menggunakan pasport antarabangsa bernombor A20485305 dan menunjukkan kedua-dua kad pengenalan polis dan biasa (Wan Muhammad) adalah sama,” jelas Rafizi pada sidang media di ibu pejabat parti hari ini.
KEADILAN pada 22 Mac lalu mendedahkan, Wan Muhammad mempunyai dua pendaftaran di dalam daftar mengundi, menggunakan kad pengenalan biasa dan polis.
Ini membolehkan Papagomo didaftar mengundi di dua tempat iaitu sebagai anggota polis dan sebagai orang awam.
Melalui skrin daftar pemilih tersebut, kad pengenalan polis Papagomo menunjukkan tarikh lahir 8 April 1983, manakala kad pengenalan biasa bertarikh 21 Januari tahun yang sama.
Bagaimanapun, pendaftaran mengikut kad pengenalan polis telah dipadam dari daftar pengundi serta merta.
Namun, tindakan pantas SPR itu tidak meredakan syak wasangka mengenai kepincangan daftar pengundi yang dikelolakan badan kerajaan itu.
“Penafian mudah Pengerusi SPR kini tidak boleh diterima bulat-bulat begitu saja. Beliau perlu menjelaskan apakah kegagalan menangani perkara yang mudah ini sebahagian dari perancangan terancang untuk mengelirukan rakyat dalam usaha untuk mengekalkan pengundi hantu?” tegas Rafizi.
“Sebuah badan seperti SPR tidak mempunyai alasan tidak dapat menangani maklumat ringkas seperti tarikh lahir, apabila jabatan kerajaan lain dengan mudah sahaja merekodkan tarikh lahir yang tepat,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, Papagomo kini sedang menghadapi dua tindakan saman mahkamah dari Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berhubung artikel fitnah yang diterbitkan melalui blognya.
Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, bekas isteri Papagomo, yang dikenali sebagai Bellina akan turut memberi keterangan berhubung kes Husam yang sedang berlangsung di Kota Bharu, Kelantan.
“Saya ada bertemu Bellina semalam di Kota Bharu. Dia juga akan memberi keterangan tentang Papagomo,” kata Saifuddin pada sidang media sama. – NS
No comments:
Post a Comment