17 March 2013

Siapa yang mula mengesan pendaratan pengganas Sulu di Kg Tanduo?


LAHAD DATU : Mungkin ramai tertanya-tanya, siapakah antara mereka yang terawal berjaya ‘menghidu’ kehadiran puak pengganas militan Sulu di sini?

Jawapannya ada pada dua orang anggota polis bantuan FELDA yang ketika itu sedang memancing ikan kira-kira pukul 4 pagi berhampiran Kampung Tanduo yang terletak tidak jauh dari Felda Sahabat. Mereka berdua ketika itu sedang bercuti.

Ketika sedang leka memancing, mereka ternampak sekumpulan lelaki bersenjata itu tiba dengan bot panjang, lengkap berpakaian celoreng.

Menyedari kehadiran ramai lelaki yang ‘mencurigakan’ di kawasan tersebut, anggota polis bantuan FELDA berkenaan berjaya menyusup keluar dari situ dan memaklumkan apa yang mereka saksikan kepada pihak polis, tanpa langsung disedari oleh pengganas yang rata-ratanya bersenjata api.

Tindakan berani anggota berkenaan tidak berakhir di situ, khidmat pasukan polis FELDA juga kemudiannya terus digunakan untuk menjejaki mereka yang terlibat.

Bagi Ketua Polis Bantuan FELDA, Datuk Jalaluddin Ibrahim, beliau menghargai tindakan berani pegawai dan anggotanya walaupun mereka berhadapan dengan risiko yang sangat besar.

”Mereka adalah antara benteng awal di sini, bahaya yang mereka hadapi bukannya sikit namun keberanian mereka membantu pihak polis cukup mengkagumkan.

”Bahkan mereka memberitahu saya, biar apa pun yang terjadi, mereka tidak akan tinggalkan Felda Sahabat ini, mereka nekad terus melindungi harta kita, nyawa penduduk serta peneroka,” katanya pada Mynewshub.my di sini, hari ini.

Sementara itu bagi Inspektor Muhammad Lamin, pengalamannya bertugas selama 11 tahun di Felda Sahabat tidak sia-sia apabila khdimatnya digunakan pihak polis untuk menjejaki persembunyian penceroboh yang dimaksudkan.

”Saya berbangga kerana dapat menyumbang pengalaman saya dalam operasi penjejakan…selama beberapa hari kami mendekati zon bahaya tanpa disedari langsung oleh pihak pengganas.

”Terus terang, saya dapat lihat sendiri bagaimana pergerakan mereka, di mana mereka bersembunyi malah sempat melihat aktiviti seharian pengganas ini seperti lokasi tempat mereka mandi dan sebagainya.

”Tak banyak sikit, maklumat ini saya percaya telah membuatkan pasukan keselamatan kita berjaya dalam beberapa siri pertempuran dari hari pertama serangan hinggalah sekarang,” katanya yang telah lebih 20 tahun berkhidmat sebagai anggota polis bantuan FELDA.

Dalam perkembangan yang sama, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan baru-baru ini dipetik sebagai berkata, tahap keselamatan di Felda Sahabat akan ditingkatkan ekoran kejadian pencerobohan.

Ahmad berkata, beliau akan mencadangkan kepada pihak atasan supaya polis bantuan Felda dibekalkan senjata api lebih canggih manakala anggota Rela turut dibekalkan senjata api.

Malah, beliau juga bersetuju pihak pengurusan Felda sahabat menambah bilangan anggota Rela daripada 200 orang kepada 400 orang.

“Ini membolehkan tahap keselamatan dapat ditingkatkan supaya insiden pencerobohan terutama yang boleh mengancam keselamatan keluarga Felda tidak berlaku,” ujarnya.

Selain itu juga, katanya kerajaan juga sudah bersetuju jeti di Felda Sahabat digunakan sebagai balai bagi membolehkan anggota agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) beroperasi.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive