14 September 2013

Artis kahwin : Black Hanafiah - Naquia Yasirah dan Fauziah Ghous - Md Zhafran Md Yusof

Black Hanafiah Impikan Punyai Ramai Anak
Black Hanafiah akhirnyan menjadi suami kepada Naquia Yasirah. FOTO: SHAHRUL FAZRY ISMAIL
KUALA LUMPUR: Penyanyi Black Hanafiah mengimpikan untuk mempunyai sebuah keluarga besar iaitu bilangan anak yang ramai selepas bergelar suami kepada Naquia Yasirah Mohamad Khairi pada Jumaat.
Black atau nama sebenarnya Hanifah Hanafiah, 26, berkata, hasrat itu ditanamnya kerana dia dan Naquia Yasirah, 28, dilahirkan dalam keluarga yang kecil iaitu masing-masing mempunyai tiga beradik.
“Keluarga kami kecil iaitu masing-masing ada tiga beradik. Melihat kepada jumlah kecil itu, saya, kalau boleh mahu sebuah keluarga yang besar, Insya-Allah,” katanya.
Black berkata demikian selepas majlis akad nikahnya dengan Naquia Yasirah di Zebra Square, Kampung Pandan di sini, Jumaat.
Akad nikah disempurnakan oleh bapa pengantin perempuan Mohamad Khairi Abu Hassan, 55.
Naquia Yasirah mencium tangan Black pada majlis membatalkan air sembahyang selepas akad nikah.
Pihak lelaki memberikan wang hantaran sebanyak RM12,000 dan mas kahwin RM80 berserta tujuh dulang hantaran berbalas sembilan dulang oleh pengantin perempuan.
Black yang popular dengan lagu Teman Pengganti berkata, dia dan isterinya tidak merancang mengenai bilangan anak sebaliknya mahu mendapat zuriat secepat mungkin.
“Anak itu rezeki bagi kami. Bukan senang nak dapat anak. Bagi saya, lagi cepat, lagilah bagus,” ujarnya.
Mengenai lokasi berbulan madu Black memberitahu mereka memilih untuk mengerjakan Umrah di Tanah Suci, Mekah yang dijadualkan pada awal tahun hadapan..
Dalam pada itu bercerita apakah penyebab dia jatuh hati terhadap Naquia Yasirah, pemuda itu berkata, selama ini dia mencari wanita yang tidak mengenalinya sebagai seorang artis.
Katanya, sehinggalah pada 18 Oktober 2012, Black berkenalan dengan Naquia Yasirah di Dataran Merdeka, melalui seorang teman dan mendapati wanita tersebut tidak mengetahui dia seorang penyanyi ketika mereka bertentang mata.
“Saya masih ingat lagi pada tarikh 18 Oktober 2012 pukul 6.56 petang, saya bersalaman dengan dia (isteri) dan saya lihat reaksinya, dia tidak kenal saya (penyanyi). Saya pun terkejut. Bermula dari situlah saya berusaha untuk mendapatkannya,” ujar Black.
Sementara itu Naquia Yasirah pula berkata, dia menyukai Black kerana sifatnya yang jujur, penyayang selain merupakan lelaki terbaik dalam hidupnya.
Dia yang pernah bekerja dan menuntut di Melbourne, Australia kini bekerja dengan sebuah syarikat milik keluarga.
Naquia Yasirah juga merupakan anak saudara kepada Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan iaitu suami kepada pelakon Datin Umie Aida.

Nikah 21 September, Fouziah Gous Enggan Majlis Dipertikaikan
Fouziah Gous dan Md Zhafran.
SERDANG: Pelakon Fouziah Gous, 30, tidak mahu orang ramai mempertikaikan majlis perkahwinannya yang akan berlangsung pada 21 September depan kerana ia dibuat mengikut kemampuannya.
Fouziah berkata, majlis tersebut dilakukan hasil bajet daripada wang simpanan daripada titik peluhnya selama ini sebagai pelakon.
"Sebagai anak tunggal perempuan dan bongsu dalam keluarga semestinya mereka ingin meraikan perkahwinan ini dalam keadaan yang meriah dan terbaik.
"Pada saya setiap majlis perkahwinan adalah mengikut kemampuan masing-masing, jika ia dibuat dengan meriah atau besar-besaran ia adalah rezeki mereka, begitu juga kami," katanya pada sidang media pengumuman tarikh perkahwinannya, di sini, Jumaat.
Fouziah dan tunangnya dan Md Zhafran Md Yusof, 30, melantik Nas Great Idea Sdn. Bhd. di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan di sini sebagai perunding majlis perkahwinan mereka.
Tambah Fouziah, dia enggan melayan pandangan orang yang sering berfikiran negatif terhadap rezeki orang lain.
Sementara itu, bercerita tentang majlis perkahwinan, Fouziah berkata, dia terpaksa menolak beberapa tawaran daripada pihak yang ingin menaja perkahwinan tersebut.
Fouziah bahagia membilang hari untuk bergelar isteri orang.
"Ada banyak penaja yang datang untuk taja perkahwinan ini tapi saya tidak mahu kerana saya mahu lakukannya sendiri.
"Jika mereka taja nanti mereka akan buat apa yang mereka suka untuk majlis saya, Namun ada beberapa tajaan sahaja seperti barang kemas dan daripada pihak yang saya kenali sahaja," katanya.
Dalam pada itu, Fouziah dan Md Zhafran akan melangsungkan pernikahan pada 21 September ini di Masjid Bukit Jelutong, Shah Alam, pada pukul 8 malam.
Ia disusuli majlis kenduri dan persandingan di sebelah perempuan pada 29 September yang dijadualkan berlangsung di Hotel Marriot Putrajaya.
Majlis menyambut menantu pula akan diadakan pada 5 Oktober depan di kediaman keluarga pengantin lelaki di Bukit Jelutong, Shah Alam.
Bagaimanapun, pasangan yang mengikat tali pertunangan pada 1 Jun lalu ini enggan mendedahkan jumlah hantaran, mas kahwin dan butiran lain kerana ia hanya akan dikongsi pada hari pernikahan mereka.
"Kami sepakat memilih tarikh 21 September kerana hanya tarikh itu semua ahli keluarga kedua-dua belah pihak dapat berhimpun. Lagi pula bakal adik ipar saya yang belajar di London ada di sini sebelum kembali semula menyambung pengajian sehari selepas kami bernikah.
"Ikatan perkahwinan yang bakal dibina ini lebih bermakna dengan kehadiran insan-insan terdekat," katanya.
Fouziah bertunang dengan Md Zhafran yang merupakan ahli perniagaan itu selepas hampir tiga bulan mengenali hati budi masing-masing.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive