08 September 2013

Pengawal Peribadi Bersenjata Dikehendaki


Kekal selamat: Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK Datuk Zakaria Sulong (dua dari kiri), Ketua Pegawai Eksekutif, Chico Force (M) Sdn Bhd, Datuk Seri Khoo Gee Chong dan beberapa pengawal peribadi mengambil bahagian dalam latihan keselamatan olok-olok.
PETALING JAYA: Permintaan terhadap pengawal peribadi bersenjata meningkat berikutan insiden tembakan baru-baru ini dan beberapa jenayah kekerasan yang lain.
Lebih banyak syarikat, termasuk bank dan syarikat mutinasional mengambil pengawal peribadi bersenjata untuk bos mereka.
Kebanyakannya, termasuk tokoh perniagaan terkemuka, dimasukkan dalam senarai menunggu kerana pengawal peribadi sedia ada tidak dapat memenuhi permintaan ramai.
Setakat ini, terdapat kira-kira 600 pengawal peribadi terlatih di negara ini.
Seorang pakar keselamatan di Kuala Lumpur berkata permintaan untuk pengawal peribadi bersenjata meningkat dengan mendadak selepas kes tembakan pengasas Bank Arab-Malaysia, Hussain Ahmad Najadi pada Julai lalu.
"Hampir setiap individu bergelar Datuk dan bos syarikat-syarikat awam tersenarai kini mempunyai sekurang-kurangnya seorang pengawal peribadi bersenjata.
"Ahli perniagaan mempunyai pesaing dan mereka tidak tahu siapa yang akan tersinggung semasa melakukan sesuatu perjanjian.
"Mereka memberitahu saya bahawa selepas mengambil pengawal peribadi bersenajata, mereka boleh melakukan urusan perniagaan tanpa rasa takut," kata pakar keselamatan itu yang enggan namanya didedahkan.
Pengarah Eagle Eye Security, Ram Bahador berkata, insiden tembakan baru-baru ini mengejutkan ramai ahli perniagaan yang sering menggunakan khidmat pengawal peribadi tanpa senjata.
"Kini, lebih ramai klien meminta pengawal peribadi bermotosikal untuk mengiringi kenderaan mereka.
"Ia memberi mereka ketenangan, dilindungi seseorang apabila mereka sedang membaca surat khabar atau minum secawa kopi," kata Ram.
Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan mengesahkan lebih ramai majikan meminta pengawal peribadi bersenjata beberapa bulan kebelakangan ini.
"Menurut maklum balas kami, syarikat keselamatan melatih lebih 20% lagi pengawal peribadi untuk memenuhi permintaan itu," katanya.
17 buah syarikat keselamatan dan sebuah persatuan keselamatan dengan 617 ahli berdaftar dengan MEF.
Pengarah Eksekutif Eagle Eye Security, Noell Kailas berkata kira-kira 12 klien dari syarikat korporat meminta pengawal peribadi bersenjata untuk syarikat mereka baru-baru ini.
"Pengawal warga Nepal mendapat permintaan tinggi tetapi mereka tidak dibenarkan untuk memiliki senjata di negara ini.
"Kami melatih, warga asing bekas tentera yang bertugas ketika perang tetapi mereka tidak boleh membawa senjata.
"Jadi, kami perlu membekalkan pengawal peribadi tempatan yang setanding dan ia bukannya mudah," katanya.
Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Perhubungan Korporat) Bukit Aman, Asisten Komisioner Ramli Mohamed Yoosuf berkata banyak faktor keselamatan harus dipertimbangkan sebelum kelulusan pengawal peribadi dibenarkan memiliki senjata.
Katanya, permohonan mana-mana pihak untuk mendapatkan lesen senapang yang ditolak boleh mengemukakan rayuan.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive