17 November 2013

Inilah gambar pengikut 'Tuhan Harun' yang dikehendaki polis

Pengikut ‘Tuhan Harun’ masih sembunyi
Kuantan: Hanya dua daripada 27 pengikut Tuhan Harun yang didedahkan identiti dan gambar mereka, hadir di balai polis daerah semalam bagi membantu siasatan kes pembunuhan Ketua Penolong Pengarah Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) baru-baru ini. 

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff, berkata seorang pengikut ajaran berkenaan, Mohd Edham Mohd Nizam, 18, dari Selangor tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini jam 3 petang. 

Seorang lagi pengikut, Mohd Khalilie Zazali, 31, tampil memberi keterangan di IPD Kajang, Selangor kira-kira jam 2 petang. 


Dibebaskan 

“Kedua-dua mereka dibebaskan selepas selesai memberi keterangan. Berikutan itu polis meminta baki pengikut termasuk ketuanya, Harun Mat Saat tampil segera ke mana-mana balai polis berdekatan. 

“Usaha menghubungi mereka gagal, namun polis percaya mereka masih berada dalam negara,” katanya ketika dihubungi semalam. 

Mohd Jasmani berkata, beliau percaya beberapa pengikut lagi akan tampil bagi memberi keterangan dalam masa terdekat. 
“Dua pengikut yang hadir semalam turut diminta membantu memaklumkan kepada rakan mereka supaya tampil membantu siasatan polis,” katanya. 

Terima cemuhan 

Selain itu beliau berkata, seorang pengikut yang hadir semalam memaklumkan dia dan beberapa ahli lain terpaksa menutup akaun laman sosial termasuk Twitter dan Facebook apabila kerap menerima cemuhan masyarakat selepas kes Tuhan Harun disebarkan di media. 

“Dia memaklumkan ramai ahli yang rasa tertekan dengan kes ini. Ada yang dicemuh dan dimaki masyarakat di laman sosial sehingga memaksa menutup akaun. 

“Mereka juga mendakwa rasa malu sehingga ada yang terpaksa menukar nombor telefon bimbit kerana kerap diganggu pihak tidak dikenali. 

Mungkin atas sebab ini juga ada yang tidak mahu tampil ke balai polis bagi memberi keterangan,” katanya.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive