26 December 2013

26 Dec 2004 - 9 tahun yang lalu ... Tsunami masih segar diingatan

  • Detik hitam dibadai tsunamiAntara rumah penduduk yang musnah akibat dipukul ombak masih dikekalkan sehingga kini untuk tatapan generasi akan datang.
 1 / 1 
KUALA MUDA - Tanggal 26 Disember 2004 pasti menjadi ingatan kekal kepada penduduk di sekitar Kota Kuala Muda, Kedah berikutan gelombang tsunami yang meranapkan 10 kampung, sembilan tahun lalu.

Ombak besar yang tercetus akibat gempa bumi kuat di perairan Sumatera, Indonesia itu turut melanda Thailand, India, Sri Lanka, Maldives, Myammar dan meragut ribuan nyawa.

Di Malaysia, selain Kota Kuala Muda yang terjejas teruk, pesisiran pantai Pulau Pinang, Perlis dan Selangor turut merasai gelombang tsunami dengan angka kematian dianggarkan 45 orang.


Tsunami yang mencapai ketinggian enam meter itu menyusuli gempa bumi berskala 8.9 skala Richter, dikatakan paling kuat dalam tempoh 40 tahun.

Menceritakan kembali detik hitam berkenaan, penduduk Kampung Masjid, Yusoff Yahya, 72, berkata, sekurang-kurangnya 11 orang maut di Kota Kuala Muda yang kebanyakan dari Kampung Kepala Jalan.

“Semasa itu, saya baru selesai mandi dan persiapkan diri untuk ke majlis perkahwinan tidak jauh dari rumah lebih kurang jam 1 petang.

“Sekali pandang ternampak gelombang air putih dari laut yang tingginya melebihi pokok kelapa,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, ramai yang kehairanan menyebabkan kebanyakan penduduk meluru ke tepi laut untuk menyaksikan dengan lebih dekat fenomena yang berlaku.

“Dalam sekelip mata, ombak besar yang membawa limpahan air sudah sampai ke kaki menyebabkan penduduk lari lintang pukang menyelamatkan diri, ada yang menjerit, ada yang menangis dan tidak kurang yang mendukung anak atau bayi masing-masing,” katanya.

Lebih kurang 1,000 rumah membabitkan 5,000 penduduk di perkampungan nelayan itu ranap manakala sebahagian lagi rosak akibat dinding hilang, bumbung tercabut dan harta benda seperti kereta, motosikal dan perkakasan rumah kesemuanya hanyut ataupun rosak diseliputi lumpur. - Sinar


“Hanya sempat berlari sehingga jarak 50 meter, berlaku pula gelombang kedua yang lebih dahsyat apabila gelombang air yang bergulung di laut menghempap rumah, kedai, bangunan serta harta benda yang ada.

“Belum sempat mencari jalan keluar, motosikal yang ditarik pada mulanya terus dicampak kerana tak sempat lagi mahu menghidupkannya, saya dan dua lagi saudara terus berpaut pada sebatang pokok mempelam kerana tidak mahu terus dihanyutkan arus deras,” katanya.

Yusoff berkata, arus deras turut membawa sampah termasuk ranting pokok, kenderaan, kayu, plastik, perabot dan pelbagai harta benda.

Cucunya, Nurul Najwa Ridzuan, 11, ketika itu baru berusia dua tahun dikatakan dibawa ayahnya berjalan kaki sehingga ke Bukit Meriam bagi menyelamatkan diri.

Dalam keadaan kelam kabut, ada juga penduduk yang tidak menyedari hilang kain sarung yang dipakai akibat dipukul ombak.

Bentara kenduri hilang

Sementara itu, isterinya, Hamidah Hasan, 68, berkata, pengunjung yang datang ke majlis perkahwinan hairan apabila tiada bentara (pelayan) yang bertugas kerana kesemuanya berlari ke arah tepi laut untuk menyaksikan gelombang besar.

“Dalam tempoh beberapa saat, banjir besar memenuhi seluruh kampung, termasuk majlis perkahwinan yang tergendala. Habis semua lauk pauk dimasuki air, termasuk lauk gulai batang pisang yang menjadi hidangan istimewa pada hari terbabit,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan penduduk masih trauma dengan kejadian berkenaan yang memusnahkan perkampungan itu dan mengambil masa sekurang-kurangnya seminggu untuk pulih dan kembali ke rumah masing-masing untuk operasi pembersihan.

Seorang lagi penduduk, Azmi Marzuki, 48, berkata, semasa gelombang air besar melanda kampungnya, dia memberi laluan kepada 10 penduduk kampung untuk menyelamatkan diri ke tingkat atas rumahnya.

“Sebelum menyedari ia tsunami, saya bersama penduduk sempat ke tepi laut menyaksikan kejadian gelombang tinggi berwarna putih yang belum pernah kami lihat sebelum ini.

“Teringat peristiwa seorang penduduk menyergah dengan perkataan tunggu apa lagi, nak mati ka, menyebabkan semua bertempiaran lari naik ke tingkat atas rumah,” katanya.

Azmi berkata, seorang mangsa yang dipercayai bernama Tok Embun, 70-an, yang sedang bersembahyang (memakai telekung) dikatakan lemas, antara yang terkorban.

“Selepas beberapa hari, rumah kami dipenuhi ratusan bangkai ikan yang hanyut akibat gegaran terbabit,” katanya.

Pulih semangat penduduk

Azmi berkata, dalam tempoh seminggu selepas kejadian, ada khabar angin mengatakan tsunami akan berlaku lagi menyebabkan penduduk membawa keluarga jauh dari pantai termasuk ke rumah saudara atau ke luar daerah akibat trauma.

Bagaimanapun, menurutnya, pelbagai inisiatif kerajaan dilakukan setelah sembilan tahun kejadian itu berlaku membantu memulihkan semangat penduduk yang terjejas.

“Kini terdapat tembok batu yang dibina bagi mengurangkan kesan sekiranya berlaku gelombang besar, selain itu, sistem siren dipasang dan  latihan tsunami juga dilakukan dengan kerjasama pelbagai pihak.

“Walaupun kejadian ini berlaku sembilan tahun lalu, namun penduduk Kota Kuala Muda masih dalam keadaan berjaga-jaga, sentiasa memantau keadaan bergelora selain mendapatkan maklumat dari agensi berkaitan dalam aspek keselamatan. Ia adalah sebahagian daripada lipatan sejarah yang pernah kami dilalui dan akan kekal di ingatan sampai bila-bila,” katanya.- Sinar

Oleh Mohd Khairul Fikri Osman
PANTAI MERDEKA: Hari ini  genap sembilan tahun bencana tsunami melanda rantau ini dan tragedi itu masih segar dalam ingatan penduduk kampung di sekitar Kota Kuala Muda di sini, malah kesannya juga masih jelas kelihatan sehingga sekarang.
Tinjauan Bernama di sini mendapati bencana itu membawa banyak perubahan terhadap penempatan dan corak kehidupan penduduk setempat. Penduduk mangsa tsunami mendirikan rumah lebih jauh dari pesisir pantai.
Selain arca timbunan bot yang dibina di simpang laluan utama ke kawasan itu, deretan rumah yang musnah akibat ombak tsunami dikelilingi pagar dibina khas pihak berkuasa tempatan (PBT).
Seorang penduduk Kampung Tepi Sungai, Mansor Morad, 66, berkata rumahnya yang terletak berhampiran pantai juga tidak terlepas daripada dibadai ombak tsunami, namun dia bersyukur kerana rumahnya tidak musnah sepenuhnya.
Mengimbas kembali tragedi itu, Mansor berkata dia bersama keluarganya serta jiran berkumpul di atas tembok batu untuk melihat fenomena aneh di pantai itu selepas mereka mendengar bunyi kuat seperti angin kapal terbang datang dari arah laut.
“Laut bukanlah asing bagi nelayan seperti saya namun kejadian itu membuatkan bulu roma saya ‘terpacak’. Ombak pertama datang terlalu cepat menyebabkan kami lari lintang-pukang, datang pula ombak kedua yang lebih tinggi memusnahkan banyak rumah dan menyebabkan lebih 10 orang penduduk di kampung ini maut.
“Ketika itu kami hanya fikir untuk menyelamatkan diri, mujurlah sebelum itu saya tergerak hati untuk menyimpan dokumen penting di dalam poket baju Melayu yang disangkut di tingkat atas rumah. Barang dan peralatan di tingkat bawah memang musnah semua,” katanya.
Sementara itu, peniaga kedai makan, Akmal Marzuki, 28, berkata sewaktu tsunami 2004 melanda, dia yang merupakan pelajar Kolej Komuniti Langkawi, pulang ke kampung untuk cuti semester.
“Kebetulan hari itu, kedua ibu bapa pergi ke Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan tinggal saya dan adik, Mohd Noor Azmeer (21 tahun) di rumah.
Semasa kejadian itu, pukul 1 tengah hari saya berada di rumah kenduri dan selepas ombak pertama membadai, saya bergegas pulang ke rumah kerana bimbangkan keselamatan adik saya.
“Rupanya dia berada di pekan dan sejurus selepas saya meninggalkan rumah, ombak kedua datang dan rumah kedai kami musnah dihanyutkan air berlumpur. Tidak ada apa yang sempat diselamatkan.
Hanya peti ais sahaja yang ditemui semula dan masih digunakan sehingga kini,” katanya yang mendirikan semula kedai di lokasi sama tidak lama selepas kejadian itu.
Bagi Yusoff Yahya, 72, dari Kampung Masjid pula, dia trauma setelah hampir dihanyutkan ombak tsunami namun bersyukur kerana usianya masih panjang dan terselamat daripada musibah kerana sempat berpaut pada pohon mempelam berhampiran rumahnya.
“Dua lagi saudara turut berpaut pada saya ketika itu, saya peluk pokok itu dengan kuat agar tidak terlepas. Rumah saya tidak terjejas teruk namun peristiwa itu akan saya kenang sampai bila-bila. Seminggu kami tidak dapat tidur lena.
“Namun kini saya gembira kerana banyak perubahan dilakukan dari segi keselamatan termasuk sistem penggera yang dipasang untuk memberi amaran tsunami kepada penduduk,” katanya.
Yusoff berkata pada hari kejadian, tiada sebarang perubahan cuaca malah banjir teruk juga tidak pernah terjadi, namun peristiwa itu meninggalkan kesan mendalam dalam hidupnya dan berharap ia tidak berulang.
– BERNAMA

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive