23 December 2013

Danok Terkini [Isnin - 23/12/13


Anggota keselamatan mengawal di lokasi kawasan pengeboman di Danok, Thailand.
DANOK: Kawasan letupan bom di Hotel Oliver, Pekan Danok masih dikawal rapi oleh polis Thailand, walaupun kawasannya kembali tenang dan pulih seolah-olah tiada sebarang kejadian buruk berlaku sebelum ini.
Tinjaun Bernama mendapati premis peniagaan di kawasan berdekatan letupan beroperasi seperti biasa.
Gabenor Songkhla, Girisada Booncharn dijangka melawat tempat kejadian tengah pada Isnin.
Lima letupan pada pagi dan petang Ahad di Padang Besar, Danok dan Sadao mengorbankan dua orang rakyat Thai sementara 25 lagi cedera.
Tiada rakyat Malaysia yang dilapor terkorban.
Seorang peniaga kedai makan di Pekan Danok, Adul Halim Mahmud, 51, berkata kejadian itu yang pertama kali berlaku di Pekan Danok amat memeranjatkan penduduk.
Beliau berkata sepanjang 30 tahun beliau tinggal di Pekan Danok, inilah kejadian pengeboman pertama berlaku yang mempunyai motif tertentu.
"Kejadian ini mungkin memberi kesan terhadap kedatangan pelancong asing khususnya daripada Malaysia ke selatan Thai," katanya.
Adul Halim yakin keadaan terkawal dijangka pulih dalam masa beberapa hari lagi. - BERNAMA


Letupan Di Danok: Saksi Lihat Kereta Terbakar, Orang Ramai Cedera
Keadaan kereta yang terbakar akibat letupan bom.
BUKIT KAYU HITAM: Banyak kenderaan hangus terbakar dan dapat dilihat beberapa orang berlumuran darah ketika seorang pelancong iaitu Douglas Alexis menghampiri tapak di mana sebuah bom kereta meletup di Danok, sempadan Malaysia – Thailand.
Alexis berkata, terdapat sebuah jip yang terbakar dan letupan itu telah menyebabkan tingkat bawah Hotel Oliver yang menempatkan beberapa kedai rosak teruk.
"Terdapat lima hingga enam orang terbaring di atas tanah di luar hotel," katanya kepadaThe Star.
Alexis, yang ketika itu dalam kunjungannya ke Danok untuk melawat isteri dan anaknya yang tinggal kira-kira satu kilometer di Roi Phat berkata, dia sedang berjalan dengan rakan-rakan kira-kira 200 meter dari hotel pada waktu tengah hari apabila dia terdengar bunyi kuat dan sesuatu seperti letupan mercun.
"Pada mulanya saya fikir ia adalah bunyi tembakan, kerana terdapat kawasan sukan menembak terletak berdekatan.
"Bagaimanapun, apabila saya pergi lebih dekat saya melihat bangunan hotel dan kawasan sekitarnya rosak teruk dan ada asap berkepul-kepul memenuhi kawasan," katanya.
Keadaan premis karaoke yang terletak di sebelah Hotel Oliver di Danok turut musnah diletupkan bom. Foto G.C.TAN / THE STAR
Alexis, 35, yang menjalankan perniagaan pengangkutan di Pulau Pinang itu merasakan terdapat letupan yang berlaku. Apatah lagi dia berada di tengah-tengah kawasan yang pernah berlaku kejadian letupan hotel Lee Garden, Haadyai tiga tahun lalu.
Dia berkata, anggota polis tiba di tempat kejadian dengan segera berikutan balai polis terletak berdekatan.
Kawasan di sekitar hotel itu dikawal selama beberapa jam apabila polis dan anggota tentera membuat pemeriksaan untuk memastikan keselamatan di kawasan itu.
Pelanggan di hotel lain yang berdekatan juga telah dipindahkan.
"Kami tidak berada di bawah perintah berkurung, tetapi kebanyakan tempat dan kedai-kedai di kawasan yang terjejas ditutup dan kawalan keselamatan diketatkan. Ia kelihatan seperti kawasan yang di bawah kawalan tentera," katanya.
Alexis berkata, dia bimbang kerana Danok bukan dijadikan sasaran serangan tidak seperti bandar-bandar lain seperti Pattani dan Narathiwat.
Sementara itu, juruteknik eskalator yang hanya mahu dikenali sebagai Keong, 26, berkata, dia sedang mencari kedai untuk menikmati bak kut teh sebagai makanan tengah hari ketika letupan bom berlaku.
"Saya berada tidak sampai pun 100 meter dari mana letupan bom berlaku. Saya merasakan impaknya seperti badan saya ditolak.
"Keadaan begitu bingit dan rasa seolah-olah bergegar," katanya.
Keong dan rakan sekerjanya hanya sempat beberapa minit meletakkan kereta mereka di hadapan Disco Paragon di sebelah hotel itu dan telah membuat pesanan makanan di sebuah restoran di seberang jalan ketika letupan berlaku.
"Saya berpaling dan saya dapat melihat kaca-kaca berkecai dan serpihan bangunan jatuh ke bawah," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Keong berkata, pelanggan di restoran dan premis berhampiran berlari keluar ke jalan utama kira-kira 100 meter.
"Saya mendengar ramai orang menjerit tetapi saya tidak melihat mana-mana orang yang tercedera atau terbunuh.
"Saya tidak pasti apa yang berlaku. Ada yang kata ianya disebabkan oleh kebocoran gas. Polis mengawal seluruh kawasan itu sejurus selepas kejadian berlaku," katanya.
"Saya dan rakan benar-benar bernasib baik kerana menyelamatkan diri tanpa mengalami sebarang kecederaan," katanya.
Letupan Di Danok: Wisma Putra Sahkan Tiada Rakyat Malaysia Cedera
KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin mengesahkan tiada rakyat Malaysia cedera dalam siri letupan di selatan Thailand, Ahad.
Letupan bom itu berlaku di hadapan balai polis di Padang Besar di kawasan Thailand, di hadapan balai polis Sadao dan di hadapan dan belakang Hotel Oliver di Danok.
Insiden itu turut berlaku di hadapan Disco Bangkok di Danok dan di hadapan Tesco Lotus di Sadao.
"Saya sahkan tiada langsung warga Malaysia cedera dalam letupan itu," kata Hamzah ketika dihubungi pada malam Ahad.
Media sebelum ini melaporkan dua warga Malaysia merupakan antara lebih 20 orang yang cedera dalam satu siri serangan bom di kawasan berhampiran sempadan Thailand dan Malaysia.
Menurut kenyataan daripada Wisma Putra, seramai 27 orang awam cedera dalam insiden letupan bom itu dan tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan cedera. - mStar

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive