KUALA LUMPUR: Atas rasa prihatin terhadap rakan seperjuangan yang mengalami kesulitan hidup, Datuk Ramli Sarip bakal mengadakan konsertnya, Blues Buat Teman Tour 2014 pada 19 Januari 2014 bagi membantu teman-temannya itu.
Mereka adalah Yazit (Search), Hamid (Black Dog Bone) dan balu kepada Allahyarham Samad Mian (Lefthanded).
Ramli, 61, berkata, hatinya mula terdetik untuk mengadakan konsert selepas terlihat foto Samad dan terus merancang ingin mengumpul dana bagi membantu mengurangkan beban rakan-rakan seperjuangannya itu.
"Konsert ini merupakan satu penghargaan buat para pemuzik yang pernah terbabit dalam rakaman album Alive (2000) di Synchrosound Studio, Petaling Jaya.
"Ia sebagai satu dedikasi kepada Allahyarham Samad serta Yazit dan Hamid yang menghadapi masalah kesihatan.
"Saya mula terfikir mengadakan konsert ini selepas melihat gambar-gambar lama saya bersama mereka dan selepas setahun merancang, Alhamdulillah ia akan dilaksanakan pada tahun depan di 10 buah lokasi seluruh negara," katanya.
Ramli ditemui pada majlis sidang media konsert Blues Buat Teman Tour 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada Selasa.
Turut hadir barisan pemuzik yang terlibat dengan konsert berkenaan iaitu Man Kidal sebagai gitaris, Tom Anuar (dram) Fauzie Zain (Bass), Roza Rasul (Keyboard) dan Paang Zaman (perkusi).
Tambah Ramli, dia merancang untuk menyumbangkan kesemua wang tiket kepada tiga rakannya itu dan bersyukur apabila pemuzik-pemuzik serta kru konsert tersebut setuju dengan cadangan itu.
"Alhamdulillah, apabila niat kita baik, semuanya dipermudahkan.
"Kalau nak tahu konsert ini tiada penaja dan kami adakan konsert ini bagi mengumpul dana tanpa memikirkan wang gaji sendiri. Bukan saya sahaja, tetapi seluruh produksi dan pemuzik sanggup berkorban untuk mengumpulkan dana," ujarnya.
Dalam pada itu, sebuah lagu Blues Buat Teman juga akan dihasilkan dan akan dipersembahkan pada konsert jelajah tersebut.
Konsert jelajah itu akan bermula di Hard Rock Cafe di sini pada 19 Januari 2014, diikuti dengan sembilan negeri lain iaitu Sarawak (14 Februari), Sabah (16 Februari), Pulau Pinang (23 Februari), Perak (1 Mac), Terengganu (7 Mac), Kelantan (8 Mac), Melaka (14 Mac), Johor (28 Mac) dan Singapura (29 Mac).
Untuk keterangan lanjut, hubungi 013-2633938 - mStar
No comments:
Post a Comment