09 December 2013
[Rusuhan Singapura] Angkara Mabok Todi, 27 ditangkap
Selepas rusuhan besar, pemimpin politik di Singapura sibuk mencari apa punca sebenarnya pekerja-pekerja yang mereka gelar orang dari 'Asia Selatan' mengamuk Ahad malam.
Macam-macam alasan diberikan, namun yang menarik adalah kenyataan Ahli Parlimen PAP di kawasan tersebut Lui Tuck Yew yang melawat tempat kejadian pagi Isnin.
Katanya, terlalu banyak kedai menjual arak di kawasan itu yang berterabur di sana-sini.
"Wujud keperluan untuk menentukan kawasan boleh menjual minuman keras dan waktu yang dibenarkan untuk minum..." ujarnya.
Bagi yang biasa ke Singapura, kawasan berdekatan dengan Mustapa Store itu memang port pekerja asing bercanda apabila hujung minggu.
Bukan ratusan bahkan ribuan orang boleh kita lihat melepak di berbagai sudut sekitar kawasan itu.
Kejadian semalam, di cetuskan oleh kemalangan maut yang melibatkan seorang warga India dilanggar oleh sebuah bas swasta.
Ikut cerita, warga India itu melintas jalan di tempat yang tidak dibenarkan.
Mangsa berusia 33 tahun itu terperangkap di bawah bas.
Mangsa dikenali sebagai Sakthivel Kumaravelu, pekerja syarikat pembinaan Heng Hup Soon.
Polis dan penyelamat yang bergegas ke kawasan kemalangan bagaimanapun diserang perusuh yang naik minyak dipercayai angkara 'mabuk todi'.
Ketua Polis Singapura Ng Joo Hee berkata tidak ada rakyat republik itu terlibat dengan kejadian tersebut, sambil menambah bahawa memusnahkan harta awam dan bertempur dsengan polis bukan cara Singapura. Tangkapan lanjut dijangka akan dibuat dalam masa terdekat.-9/12/2013
Singapura terpaksa menggerakan anggota Pasukan Khas Operasi dan Kontinjen Gurkha ke kawasan Little India lokasi di mana berlaku pertempuran antara perusuh dan polis pada Ahad malam.
Sebanyak 27 orang, semuanya dari Asia Selatan diberkas berikutan kejadian itu yang bermula sekitar jam 9.45 malam itu.
Laporan awal agensi berita republik tersebut turut memberitahu seorang warga asing terbunuh akibat rusuhan itu.
Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, berkata rusuhan di Little India itu sebagai 'kejadian yang amat serius' dan kerajaan akan menjejaki pelakunya serta mengambil tindakan tegas undang-undang terhadap mereka.
"Apa jua kejadian yang mungkin mencetuskan rusuhan itu, tiada sebab untuk mereka melakukan keganasan, kemusnahan dan perlakuan jenayah sedemikian rupa," katanya mengenai rusuhan itu dalam laman Facebooknya awal hari ini.
Beliau berkata, beberapa pegawai polis cedera dan kenderaan rosak atau musnah.
"Keadaan kini terkawal dan siasatan sedang dijalankan," katanya sambil menggesa rakyat Singapura supaya bertenang.
Beliau meminta sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat, gambar atau video tentang kejadian itu supaya menyerahkannya kepada polis.
Seramai 10 pegawai polis cedera dan lima kenderaan polis, sebuah ambulans dan beberapa kenderaan persendirian rosak dalam kejadian rusuhan itu yang tercetus selepas berlakunya kemalangan maut di kawasan berkenaan.
Menurut polis, pada jam 9.23 malam, satu kemalangan maut berlaku melibatkan sebuah bas dan seorang warga India berusia 33 tahun di persimpangan Jalan Race Course dan Hampshire.
Sejurus selepas itu rusuhan berlaku melibatkan sekumpulan orang awam kira-kira 400 orang yang merosakkan sejumlah kenderaan dan mengakibatkan 10 pegawai polis cedera.
Polis turut menasihatkan orang ramai supaya bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian itu.
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, Teo Chee Hean dalam satu kenyataan berkata: "Ini satu kejadian serius yang menyebabkan kecederaan dan kerosakan terhadap harta awam.
"Keadaan kini terkawal. Polis akan bertindak tegas untuk memberkas mereka yang terlibat dalam rusuhan itu," katanya.
Dalam kenyataan berasingan, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata: "SCDF dimaklumkan pada jam 9.25 malam mengenai satu kemalangan jalan raya di persimpangan Jalan Race Course dan Tekka Lane.
Sebaik tiba, seorang lelaki didapati terperangkap di bawah sebuah bas. Seorang paramedik SCDF mengesahkan lelaki itu meninggal dunia. Para penyelamat SCDF mengeluarkan mayat dengan menggunakan peralatan hidraulik.
Projektil diberikan kepada pasukan penyelamat SCDF ketika mereka mengeluarkan mayat itu. Sebanyak sembilan kenderaan SCDF turut rosak dalam kejadian berkenaan.
Awal hari ini SCDF menghantar 18 orang termasuk empat anggota SCDF ke Hospital Tan Tock Seng.
Kejadian itu merupakan pertama kali berlaku dalam sejarah Singapura sejak rusuhan kaum pada 1969 selama tujuh hari dan menyebabkan empat mati serta 80 cedera.
Little India merupakan tempat tumpuan popular rakyat asing dari benua kecil India, bersantai pada hujung minggu.-9/12/2013 - Agenda Daily
Berita Awal Rusuhan Di Singapura
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment