17 February 2014

Abdul Khalid nafi pengaruhi Zaid Ibrahim bertanding di Kajang

LEH MOHD FARHAN DARWIS
FEBRUARY 17, 2014
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) menafikan beliau mempengaruhi bekas menteri Kabinet Datuk Zaid Ibrahim supaya bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang untuk mengekalkan kuasanya sebagai menteri besar.
Spekulasi mengatakan Abdul Khalid mempengaruhi Zaid yang merupakan bekas anggota PKR bagi menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih jawatan menteri besar Selangor.
"Tidak," katanya ketika ditanya pemberita berhubung perkara itu.
Zaid yang juga bekas ahli PKR semalam berkata, tujuan beliau bertanding sebagai calon bebas di DUN Kajang adalah untuk menyekat "Langkah Kajang" Ketua Pembangkang dan mengekalkan Abdul Khalid sebagai menteri besar negeri itu.
Abdul Khalid bagaimanapun berkata, kenyataan Zaid itu adalah kebebasan politik demokrasi yang mana memperuntukkan kebebasan dalam memberikan pandangan dan pendapat mana-mana individu.
"Inilah kita lihat bagaimana politik ini perkara yang memberi kebebasan kepada mereka untuk memberikan pandangan dan juga penglibatan mereka.
"Saya baru tahu bahawa politik ini, kita tidak dapat tentukan tindakan kumpulan atau seseorang dari segi untuk bersama dalam pergolakan demokrasi dan politik Malaysia," katanya.
Zaid ketika pengumuman berkenaan berkata, dengan menewaskan Anwar dalam PRK Kajang yang dijadualkan 23 Mac depan, masa depan Pakatan Rakyat (PR) Selangor akan dapat diselamatkan.
"Kalau saya menang, Anwar kalah. Maka amanlah PR di Selangor," katanya.
"Khalid akan terus jadi menteri besar," katanya lagi.
Beliau berkata, rancangan Anwar bertanding di kerusi DUN berkenaan adalah untuk menggantikan Abdul Khalid adalah tindakan politik liar dan tidak wajar direstui.
"Jika Abdul Khalid dan kepimpinan beliau perlu disingkir biarlah ia dilakukan melalui proses demokrasi yang sihat," kata Zaid kepada pemberita semalam.
Tindakan Anwar itu jelasnya akan membawa perpecahan besar kepada PR.
"Jika Anwar menang di Kajang dan Abdul Khalid enggan berhenti secara sukarela, maka akan timbul krisis politik dan pentadbiran yang buruk di Selangor.
"Malah, jika Anwar menang di Kajang, belum tentu beliau akan diterima menjadi menteri besar oleh Sultan Selangor," katanya, dan menambah rakan komponen PR dari PAS juga belum tentu akan menyokong rancangan Anwar menjadi menteri besar.
"Ia boleh selesai jika saya menang kerusi DUN Kajang," katanya. – 17 Februari, 2014. TMI

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive