04 February 2014

PAS sokong Anwar di Kajang, soal MB Selangor tidak timbul, kata presiden

FEBRUARY 04, 2014
PAS akan bantu PKR di DUN Kajang, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Gambar fail.PAS akan bantu PKR di DUN Kajang, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Gambar fail.Mesyuarat Lajnah Politik dan Pilihan Raya PAS malam tadi memutuskan akan membantu PKR dalam pilihan raya kecil di Kajang, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Abdul Hadi dalam satu kenyataan berkata, Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Hatta Ramli dilantik mengetuai jentera pilihan raya PAS dalam pilihan raya kecil kali ini.
Bagaimanapun, katanya, isu kedudukan jawatan menteri besar Selangor tidak berbangkit.
Kenyataan Abdul Hadi melenyapkan semua desas desus dan kenyataan pemimpin muda PAS sebelum ini yang menimbulkan ura-ura parti Islam itu akan memboikot pilihan raya kecil itu.
Selain itu, ia turut mengesahkan laporan media sebelum ini bahawa beliau tidak bersetuju Anwar menggantikan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Pilihan raya kecil ini akan diadakan berikutan peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang dari PKR, Lee Chin Cheh baru-baru ini.
Abdul Khalid, pada satu sidang media minggu lalu memaklumkan PKR akan memilih ketua umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon mereka.
Keputusan Lajnah Politik dan Pilihan Raya PAS adalah antara korum mesyuarat yang berpengaruh dalam parti itu kerana ia disertai oleh hampir semua pimpinan utama dan dipengerusikan oleh Abdul Hadi sendiri.
Mesyuarat itu diadakan jam 9.00 malam tadi di Pejabat Agung PAS.
"Bersesuaian dengan semangat dalam Pakatan Rakyat maka PAS Pusat dan PAS Negeri Selangor akan membantu jentera pilihan raya PKR berdasarkan kepada keperluannya dalam menghadapi PRK ini," kata Abdul Hadi dalam kenyataannya.
Selain itu, mesyuarat itu juga merakamkan kecaman terhadap hukuman gantung sampai mati yang diputuskan oleh Tribunal Jenayah Perang di Bangladesh terhadap mantan Menteri Pertanian (2001 - 2003) dan Menteri Industri (2003 - 2006) Bangladesh yang juga merupakan Ameer Jamaat Islami Bangladesh, Maulana Matiur Rahman Nizami.
Beliau dikatakan dinafikan perbicaraan yang adil dan berdepan dengan berbagai ancaman ketika perbicaraan.
Abdul Hadi berkata, PAS turut mendesak tribunal tidak sepatutnya menjadi penghukum politik kepada kerajaan yang terdesak, dan seharusnya mendengar kritikan badan guaman dan hak asasi manusia antarabangsa. - 4 Febuari, 2014.-TMI

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive