22 April 2014

DAP Tegaskan Pakatan Tolak Hudud



PETALING JAYA: Pendirian pakatan pembangkang mengenai hudud kekal apabila DAP sekali lagi menegaskan mereka menolak pelaksanaan undang-undang Islam itu.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, pendirian Pakatan Rakyat mengenai perkara itu tidak pernah berubah dan isu berkenaan tidak seharusnya dibangkitkan.

"Di bawah Pakatan Rakyat mesti ada konsensus daripada kesemua tiga parti politik apabila melibatkan persoalan dasar.

"Memandangkan DAP tidak menyokong pelaksanaan hudud, isu mengenai Pakatan Rakyat sokong hudud adalah tidak berbangkit," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Tambah Lim, persetujuan bersama Pakatan Rakyat sejak awal termasuk menerusi manifesto pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) tidak mengandungi persetujuan mengenai hudud atau pembentukan negara Islam.

Bagaimanapun menurut Lim, semua parti sekutu Pakatan Rakyat bebas memperjuangkan dasar dan matlamat masing-masing menerusi amalan demokrasi.

Kerajaan PAS Kelantan melalui Ahli Parlimen parti itu dilaporkan akan membawa usul rang undang-undang persendirian (Hukum Hudud) di Dewan Rakyat bagi mendapatkan kebenaran melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 selewat-lewatnya Disember tahun ini.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive