05 April 2014

'Saya Tidak Memangku Jawatan PM Pada Hari Peristiwa Memali Berlaku' - Musa Hitam



Diterbitkan: Jumaat, 4 April 2014 
Tun Musa Hitam
Musa Hitam.
KUALA LUMPUR: Tun Musa Hitam pada Jumaat mendakwa beliau tidak memangku jawatan Perdana Menteri pada hari peristiwa Memali berlaku kerana Perdana Menteri pada ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad berada di dalam negara.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata pada hari kejadian, beliau bersama Pemangku Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Amin Osman telah menemui Dr Mahathir di pejabatnya dan Mohd Amin memberikan taklimat tentang perkara yang berlaku.
Taklimat itu mengenai operasi polis di Memali yang melibatkan kematian empat anggota polis dan 14 orang awam.
"Dalam pertemuan tersebut saya memohon agar Dr Mahathir menangguhkan program lawatan ke China atas tiga sebab (iaitu) peristiwa ini berlaku di negeri Kedah, negeri perdana menteri sendiri; peristiwa ini melibatkan orang Melayu beragama Islam.
"(Dan) dengan menangguhkan lawatan ke China, Dr Mahathir memperlihatkan sifat ia mengutamakan dan mengambil berat terhadap peristiwa yang telah berlaku di dalam negeri," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Dalam kejadian pada 19 November 1985 itu, seramai 18 orang termasuk empat anggota polis terbunuh dan ramai lagi cedera ketika polis melancarkan operasi menangkap guru agama, Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali dengan nama Ibrahim Libya.
(Menurut laporan media, pertempuran antara pihak polis dan penduduk kampung Memali berlaku apabila penduduk cuba menghalang Ibrahim Libya dari ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana didakwa mengamalkan ajaran sesat.)
Musa berkata, beliau memaklumkan cadangannya untuk membentangkan peristiwa Memali di Parlimen kepada Dr Mahathir yang pada ketika itu membuat keputusan untuk tetap berlepas ke China.
"Saya telah membentangkan peristiwa Memali di Dewan Rakyat pada keesokkan harinya (20 November 1985) dan selanjutnya mengadakan perjumpaan media," katanya.
Namun, Musa, yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu, berkata beliau mengambil tanggungjawab dan akauntabiliti terhadap apa yang berlaku walaupun tidak terlibat secara langsung dalam peristiwa berkenaan.   
"...tetapi (saya) menyerahkan kepada budi bicara pihak polis untuk melaksanakan operasi dari segi menentukan waktu terbaik ia dilakukan serta kaedah dan pendekatan untuk melaksanakan operasi. 
"Sebagai Menteri Dalam Negeri (pada ketika itu) saya telah menggariskan panduan umum, memberi ingatan dan mengarahkan pihak polis tentang dua perkara (iaitu) proses undang-undang hendaklah dipatuhi dan elakkan kekerasan dan pertumpahan darah," katanya.
Musa berkata, beliau tidak berniat untuk mencetuskan polemik baharu berkaitan Memali, tetapi ia dihidupkan semula berikutan responsnya kepada soalan yang diajukan oleh seorang moderator dalam program diskusi anjuran kerajaan negeri Kelantan, 27 Mac lepas.
"Saya berterus terang dan dengan ikhlas serta penuh insaf mengaku bahawa titik hitam dalam sejarah karier politik saya ialah peristiwa Memali," katanya sambil menambah beliau telah dicerca, dicela dan dinista mengenai peristiwa itu oleh pelbagai pihak terutama oleh parti PAS.
"Seingat saya, apatah lagi selepas saya berundur daripada jawatan Menteri; tidak ada pihak baik daripada kerajaan, begitu juga parti Umno yang saya anggotai bersedia menyuarakan fakta yang benar.
"Saya pernah menawarkan diri untuk mengadakan wawancara eksklusif dengan media khusus atas subjek peristiwa Memali, tetapi tidak ada pihak media yang bersedia mewawancara saya. 
"Saya sedar dan memahami ketika itu tidak ada pihak yang bersedia berhadapan risiko untuk bercakap perkara yang boleh dianggap menyentuh kedudukan dan batang tubuh seorang Perdana Menteri yang sedang berkuasa," katanya.
Musa berkata, beliau sedar perkembangan terbaru itu telah menjemput pelbagai ulasan dan pandangan positif mahupun negatif, tidak terkecuali yang berbentuk tohmahan, tuduhan dan fitnah baharu ke atas dirinya.  
"Sekian lama saya berseorangan untuk mendapatkan keadilan namun saya terus berdoa dan akhirnya program diskusi di Kelantan saya sifatkan sebagai anugerah Ilahi memakbulkan doa saya. 
"Saya serahkan segala-galanya kepada Allah yang Maha Mengetahui akan kebenaran dan kepada Nya saya memohon petunjuk dan keadilan," katanya.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive