08 May 2014

Kes buang bayi: Pelajar ditahan, teman lelaki dicari

BUKIT MERTAJAM: Seorang pelajar tingkatan empat sebuah sekolah menengah di Butterworth dekat sini ditahan bagi membantu siasatan kes penemuan mayat bayi lelaki di dalam tangki pam tandas di Klinik Kesihatan Butterworth semalam.

Pelajar perempuan berusia 16 tahun itu ditahan di rumahnya pada jam 12.30 tengah hari semalam, kira-kira lima jam selepas mayat bayi yang cukup sifat itu ditemui. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata, siasatan awal polis mendapati pelajar terbabit dibawa bapanya ke klinik itu pada Selasa selepas mengadu sakit perut kerana senggugut. 

"Ketika diperiksa doktor, remaja perempuan itu memaklumkan dia sakit perut dan mahu ke tandas dan melahirkan bayi lelaki di tandas itu," katanya kepada pemberita selepas 'Program High Policing' di Kubang Semang, di sini hari ini.

Beliau berkata, remaja itu dipercayai panik apabila bayinya menangis lalu memasukkannya ke dalam tangki pam tandas berkenaan sebelum dia pergi ke kereta bapanya yang sedang menunggu di kawasan klinik itu.
Mazlan berkata, remaja itu tidak memberitahu bapanya kejadian itu dan mereka 
terus pulang ke rumah. 

Berdasarkan siasatan polis, pelajar itu mengaku mengandung hasil hubungan dengan teman lelakinya berusia 18 tahun, katanya. 

Remaja perempuan itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk pemeriksaan lanjut sebelum ditahan reman bagi membantu siasatan sementara polis cuba mengesan teman lelaki remaja berkenaan yang dipercayai telah melarikan diri. 

Pagi semalam, seorang pesakit wanita yang menggunakan tandas di klinik itu, menemui mayat bayi lelaki tanpa pakaian di dalam tangki pam tandas klinik itu. - Bernama

JURUJUAL BUANG BAYI DALAM TANDAS FARMASI
 

Ampang – Seorang jurujual farmasi yang mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam, atas pertuduhan membuang bayi yang dilahirkannya di dalam tandas di Taman Melawati di sini, Jumaat lalu menangis sebaik melihat gambar mayat anaknya ketika ditunjukkan polis mahkamah.

Dengan pengakuan remaja berusia 18 tahun itu, Majistret Noor Farah Hazwani Osman menetapkan 16 Julai ini untuk jatuh hukum dan mendapatkan laporan akhlaknya.

Remaja itu pada mulanya mengaku tidak bersalah, namun menukar pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan semula kepadanya.

Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa menyembunyikan kelahiran seorang bayi dengan membuang mayat bayi itu tanpa diketahui sama ada itu bayi mati selepas atau semasa dilahirkan.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu jam 4 petang pada 2 Mei lalu di tandas sebuah farmasi di Taman Melawati.

Remaja perempuan yang juga pekerja farmasi berkenaan ditahan ketika sedang menerima rawatan di sebuah hospital berdekatan .

Penahanan itu dibuat selepas rakan sekerjanya menemui mayat bayi perempuan yang masih bertali pusat di dalam tandas premis berkenaan.

Pekerja berusia kira-kira 30 tahun itu menemui mayat bayi tersebut yang sudah kaku pada pukul 4 petang iaitu ketika dia masuk untuk meletakkan bekas berisi air di situ.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd. Adnan Abdullah berkata, pihak polis menerima panggilan daripada salah seorang pekerja farmasi terbabit sebelum sepasukan pegawai polis dan forensik dikerah ke lokasi kejadian.

Sebaik sahaja tiba katanya, pihak forensik mendapati mayat bayi yang berada di dalam mangkuk tandas sudah tidak bernyawa.

“Kita akan bekerjasama dengan pihak pengurusan bagi meneliti kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan bagi membantu siasatan.

“Mayat bayi yang cukup sifat itu dihantar ke Hospital Ampang untuk bedah siasat,” katanya.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Ke seksaan kerana menyembunyikan kelahiran atau pembuangan bayi yang telah mati. -8/5/14/: MyNewsHub

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive