21 May 2014

PRK Teluk Intan - Kit Siang puji ibu Dyana Sofya berani sindir Dr Mahathir

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK

[
MAY 21, 2014
Yammy Samad, ibu kepada calon DAP bagi Parlimen Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud turut serta dalam kempen anaknya di Teluk Intan, semalam. Gambar fail The Malaysian Insider.Yammy Samad, ibu kepada calon DAP bagi Parlimen Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud turut serta dalam kempen anaknya di Teluk Intan, semalam. Gambar fail The Malaysian Insider.Selepas memberi perumpamaan yang sangat “mendalam” merujuk kepada anak bekas  Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, ibu kepada calon DAP Parlimen Teluk Intan, Yammy Samad mendapat pujian pimpinan DAP.
Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata Yammy seorang ibu yang hebat kerana berani memberikan sindiran tajam kepada Dr Mahathir.
“Mengagumkan Yammy. Ia ungkapan yang sangat bermakna.

“Yammy, anda lebih baik daripada Dr Mahathir kerana berdiri teguh di belakang anak anda. Andalah ibu yang terpuji,” katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 500 pengundi Cina di Tokong Bu Tong San di Teluk Intan, malam tadi.
Semalam, The Malaysian Insider melaporkan Yammy yang juga ibu kepada Dyana Sofya Mohd Daud menyindir Dr Mahathir ketika menjawab kenyataan perdana menteri paling lama berkhidmat itu yang mengecam dirinya sebagai ahli Umno tetapi membiarkan Dyana bertanding atas tiket DAP.
Yammy berkata, beliau sehabis daya mahukan mahu Dyana Sofya mengikut jejak langkah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir tetapi apakan daya perawakan anaknya itu lebih mirip kepada Datin Paduka Marina Mahathir.
"Saya cuba didik anak saya jadi Mukhriz, tetapi apabila dia sudah besar dia jadi Marina,” katanya kepada The Malaysian Insder apabila ditemui semalam.
Ketika diminta untuk menghuraikan lebih lanjut perumpamaan yang diberikan, Yammy berkata: “Itu terserah kepada mereka untuk menafsirkan. Saya rasa mereka tentu faham.”
Marina yang juga ahli lembaga Sisters In Islam (SIS) sebelum ini lantang memperjuangkan hak asasi manusia termasuk menghadiahkan bunga kepada pihak gereja sebagai lambang perdamaian.
Marina  juga hadir sewaktu perbicaraan Dr Kassim Ahmad di Mahkamah Syariah Putrajaya bersama bapanya sebagai lambang solidariti membantah penangkapan intelektual dan aktivis politik itu merentas negeri.
Selain itu, Marina juga pernah menghadiri demonstrasi anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) walaupun umum mengetahui Dr Mahathir tidak bersetuju dengannya.
Pagi ini, Dyana Sofya akan menemui pengundi di Pasar Besar Pendamar, Teluk Intan selepas menerima reaksi positif dalam sesi bertemu pengundi semalam.
Kunjungan Dyana Sofya di pasar pagi semalam yang menemui kebanyakan pengundi Cina di kawasan itu menerima reaksi positif dan senyuman mesra.
Ternyata ramai yang teruja dan tidak mahu melepaskan peluang untuk bergambar dengan alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu.
Pada sidang media ringkasnya pagi semalam, Dyana Sofya terharu dan menitiskan air mata di atas sokongan yang diberikan kerana tidak menyangka menerima sambutan hangat.
Berlainan pula kisahnya, kunjungan Dyana Sofya bersama pasukan DAP di pasar malam Kampung Bahagia semalam, ada berlaku sedikit gangguan daripada penduduk setempat dan jentera Barisan Nasional (BN) sendiri.
Namun, Dyana Sofya tetap tenang dan masih mengukirkan senyuman kepada pihak yang menentangnya.
Hari berkempen tinggal 9 hari, namun ketika ditanya, Lim berkata peluang Dyana hanya setakat 40% untuk memenangi pilihan raya itu.
Katanya, taktik kotor yang dimainkan BN selain pengaruh calon mereka Datuk Mah Siew Keong yang juga merupakan presiden Gerakan menjadi antara penyebabnya.
Bagaimanapun, Lim yakin peratusan itu akan meningkat menjelang hari akhir pada tempoh berkempen.
Teluk Intan mempunyai 60,349 pengundi dengan 59,927 pengundi biasa, 410 pengundi awal dan 12 pengundi tidak hadir.
Kawasan itu mempunyai 23,301 pengundi Melayu (38.6%), 25,310 pengundi Cina (41.9%) dan 11,468 pengundi India (19%).
Penamaan calon bagi pilihan raya ini diadakan pada 19 Mei lalu dan pengundian awal ditetapkan pada 27 Mei ini.
DAP menang pertama kali kerusi itu, yang dikenali sebagai Teluk Anson dalam pilihan raya umum 1969 apabila Chan Fu King mengalahkan Menteri Kesihatan dari MCA, Dr Ng Kam Poh.
Bagaimanapun, sejak persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen pada 1974, 1984 dan 1993, komposisi dan watak pengundi di kawasan Parlimen Teluk Anson berubah berbanding pada 1969.
Ini membolehkan calon Gerakan memenangi kerusi itu dari pilihan raya umum 1974, sehingga pada 1995 di mana calon DAP M Kula Segaran berjaya memecahkan kemenangan itu. – 21 Mei, 2014

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive