30 May 2014

PRK Teluk Intan : Bagi Dyana, "Uncle Lim adalah segala-galanya"


Menjelang pengundian pilihanraya kecil Teluk Intan esok Sabtu ada orang yang tidak ragu-ragu berpendapat DAP telah mengambil strategi politik yang cukup bijak letak seorang wanita muda Melayu,Dyana Mohd Daud  sebagai umpan.

Cuba lihat ke belakang,belum pernah seorang calon pilihanraya kecil dari parti itu mendapat perhatian yang luar dari kebiasaan.Dari wajahnya hingga ke setiap sudut dirinya diteropong habis.

Malah anak Karpal Singh,Ramkarpal yang bertanding di pilihanraya kecil Bukit Gelugor,Pulau Pinang baru ini tidak dapat menandingi publisiti yang Dyana dapat.


Bijak memang bijak...apa pun cuma orang yang buta politik saja tidak nampak strategi DAP tidak lebih dari usaha untuk memporak perandakan persepsi orang Melayu terhadap parti itu.

Ini lebih-lebih lagi mengenangkan ibu Dyana,Yammy ialah seorang ahli UMNO.

Lihat bagaimana kroniknya senario seorang ahli UMNO kena tempel muka di acara-acara kempen DAP kerana Yammy terpaksa temankan Dyana atas sifatnya sebagai seorang ibu.

Kalau nak kira Dyana bukan siapa-siapa dalam konteks politik tanahair.Dia hanya pembantu kepada Lim Kit Siang yang makan gaji membantu otai DAP di kawasan parlimennya di Gelang Patah.

Lojik diatas kertas Dyana bukan tandingan calon BN Datuk Mah Siew Keong yang bukan sahaja Presiden Gerakan malah pernah jadi Ahli Parlimen kawasan itu dan ada pengalaman sebagai Timbalan Menteri.

Lebih jauh dari itu Dyana ialah orang luar sementara Mah ialah anak Teluk Intan.

Harapan DAP nampak sangat hendak meleraikan persepsi yang kuat terbuku bahawa parti itu cauvanis Cina.

Nak bagi alasan ia untuk membuka peluang pada orang muda...apakah tidak ada orang muda lain dari kaum Cina dalam parti itu yang lebih layak.

Menerusi Pakatan Rakyat selama ini DAP telah berjaya buat PAS cukup syok padanya kerana cita-cita politik masing dengan gandingan PKR hendak menawan Putrajaya.

Tolak sebelah soal tentangan DAP pada Hudud...PAS tetap memeluk erat parti itu kerana mahu pertahankan Teluk Intan dari BN.

Cita-cita mereka hendak tawan Putrajaya itu terus membara sekalipun terpaksa gigit jari gagal dalam pilihanraya umum  ke 13  yang sebelum ini dianggap sebagai ' the mother of all election'.

Sasaran mereka kini lebih kepada orang Melayu kebanyakan yang tidak berparti.

Soalnya mampukah seorang wanita muda mentah dalam politik boleh menghakis pandangan umum orang Melayu terhadap parti itu?

DAP tidak boleh marah kalau ramai yang melihat Dyana sebagai 'penghias tingkap' untuk jual produknya.

Siapa Dyana kalau hendak dibandingkan dengan bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Aziz yang terpelanting kerana bersuara kritikal terhadap parti itu.

Orang yang berpengalaman dan terhormat sepertinya boleh kena jentik begitu saja.

Zaman berbulan madu sebagai calon pilihanraya atau jika menang sudah jadi Ahli Parlimen tidak sama dengan realiti politik sebenar dalam parti itu.

Lihat saja dalam barisan pimpinan DAP dan Jawatankuasa Kerja Pusat cuma Zairil Khir Johari yang tidak pernah dianggap sebagai ' suara Melayu' saja yang ada.

Cuba tanya Ahli Parlimen Raub Dato' Mohd Ariff Sabri,apakah dia dapat mempengaruhi dasar parti itu?

DAP dilihat mengambil [I]calculated risk[/I] letak Dyana di Teluk Intan kerana dikatakan beranggapan pengundi di situ akan memihak kepadanya.

Perasaan itu tidak dapat dielakan kerana sudah dua penggal orang DAP menang di situ melalui M Manogaran pada PRU 2008 dan mendiang Seah Leong Peng pada PRU2013.

Peratusan pengundi mengikut kaum juga memihak kepadanya dimana 42 peratus adalah kaum Cina manakala Melayu 38 peratus dan India 19 peratus.

Ramai pemerhati politik yakin DAP tidak akan berani ambil sebarang risiko jika merasakan situasi di Teluk Intan 'amat mencabar'.

Selain dari hajatnya untuk tumbangkan BN di peringkat nasional semua orang tahu DAP cukup mengidam hendak jadi kerajaan negeri di Perak.

DAP pernah mendapat peluang sekejap - sebelum tumbang selepas 11 bulan - sekalipun orang PAS Datuk Seri Nizar Jamaluddin jadi Menteri Besar semasa Pakatan Rakyat menang di negeri itu pada PRU2008.

Parti itu terpaksa bagi jalan kepada PAS jadi ' orang depan' kerana ketiadaan ADUN Melayu di kalangan parti itu keranba perlembagaan negeri Perak mewajibkan orang Melayu jadi Menteri Besar.

Atas sebab itu ramai yang berminat untuk tahu apakah undi orang Melayu akan swing atau tidak kepada DAP dalam pilihanraya kecil Teluk Intan kerana faktor Dyana.

Dyana mungkin tidak peduli apa orang kata padanya.Siapa yang tidak khayal dan merasa diawang-awangan tiba-tiba boleh jadi calon pilihanraya kerusi Parlimen.

Ingat lagi bagaimana dia dengan bangga berkata peluang ini tidak mungkin dikecapinya kalau dia dalam UMNO.

Seronok dengar 'umpan' ini bercakap syok sendiri tanpa melihat politik dalam konteks menyeluruh.

Siapa tahu mungkin bagi Dyana padanya 'Uncle Lim' adalah segala-galanya untuk memenuhi impian hidupnya.-30/5/2014

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive