30 May 2014

Hasan Malek sedia disiasat isu pinjaman RM32 juta


Datuk Hasan Malek mencabar mana-mana pihak membuktikan beliau melakukan salah laku dalam membuat keputusan agar Bank Rakyat memberikan kemudahan bayaran balik pinjaman RM32 juta tanpa faedah kepada ahli perniagaan Deepak Jaikishan.
Walaupun persetujuan sebegitu tidak pernah dibuat sebelum ini, menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yang sebelum ini enggan menjawab tentang pinjaman itu memberitahu The Malaysian Insider:"Semuanya dibuat dengan persetujuan lembaga."
"Saya bersedia menghadapi pembangkang sekiranya mereka mendakwa adanya salah laku.
“Segala-galanya yang berlaku mengikut dasar kerajaan, undang-undang dan peraturan," katanya kepada The Malaysian Insider selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementerian itu dan hari sambutan agensi penguatkuasaan di Putrajaya semalam.
Ahli Parlimen pembangkang mendesak Putrajaya dan Bank Negara menjelaskan bagaimana Deepak diberikan kemudahan sebegitu rupa.
Menteri itu pada mulanya enggan membincangkan perkara itu dan berkata bekas Pengerusi Bank Rakyat Tan Sri Sabbaruddin Chik dan bank sudah mengeluarkan kenyataan untuk menjelaskan isu itu.
"Mereka membuat kenyataan, termasuk kenyataan terbaru oleh Tan Sri (Sabbaruddin). Tiada apa yang tinggal untuk saya beri komen," katanya.
Tetapi selepas ditanya lagi, menteri itu berkata, semuanya dibuat melalui lembaga pengarah dan enggan memberikan komen lanjut.
Sabbaruddin, yang mendedahkan skandal itu, memberitahu The Malaysian Insider Deepak menggunakan jaringan politik untuk menyelesaikan pinjaman berjumlah RM32 juta kepada Bank Rakyat tanpa sebarang faedah ekoran campur tangan Hasan.
Dalam laporan The Malaysian Insider pada hari Isnin, Sabbaruddin mendakwa tempoh beliau sebagai pengerusi Bank Rakyat tidak disambung berikutan permohonan pinjaman dibuat oleh Deepak yang dikaitkan dengan Putrajaya.
Deepak meminta bantuan daripada Hasan, yang didakwa memberitahu bank: "Saya boleh memecat anda semua".
Peniaga permaidani itu menawarkan 120 cek post-dated untuk ditunaikan oleh bank dalam tempoh 10 tahun sebagai penyelesaian pinjamannya tanpa sebarang faedah.
Sabbaruddin memberitahu lembaga pengarah Bank Rakyat menolak kompromi yang ditawarkan oleh Deepak untuk menyelesaikan hutangnya.
Menurut Sabbaruddin, selepas keputusan itu dibuat, Hasan tidak berpuas hati dan enggan menandatangani surat melanjutkan tempoh perkhidmatan beliau sebagai pengerusi Bank Rakyat.
Bank Rakyat berada di bawah bidang kuasa kementerian Hasan.
Walaupun Bank Negara bersetuju melanjutkan kontrak Sabbaruddin tetapi Hasan enggan menandatanganinya.
Sabbaruddin juga menunjukkan kepada The Malaysian Insider surat ditandatangani oleh Hasan yang mengarahkan Bank Rakyat meneruskannya mengikut syarat-syarat yang dipersetujui.
Insiden itu menjadi hangat apabila Pengarah Urusan Bank Rakyat Mustafa Razak diarah membangkitkan isu itu kepada ahli lembaga pengarah.
Lembaga diarahkan untuk bersetuju dengan kaedah pembayaran balik pada Mac.
Ahli Parlimen PAS, Datuk Mahfuz Omar, berkata Putrajaya perlu menjawab dakwaan yang mengatakan Hasan mengarahkan bank untuk memberi Deepak pengecualian itu.
Mahfuz yang juga ahli Parlimen Pokok Sena, mahu pentadbiran Najib menjelaskan sama ada layanan istimewa yang diberi kepada ahli perniagaan itu kerana kononnya beliau mempunyai maklumat mengenai ahli-ahli politik Malaysia peringkat tertinggi.
Mahfuz berkata, perjanjian penstrukturan semula pinjaman juga menunjukkan tadbir urus korporat bank itu teruk kerana ia menunjukkan ramai ahli politik terlibat dalam operasi institusi itu dan bukan dikendalikan oleh para profesional di kalangan ahli lembaga pengarah.
Ahli Parlimen Segambut daripada DAP, Lim Lip Eng turut menggesa Bank Negara memulakan segera siasatan berhubung dengan dakwaan yang dibuat oleh Sabbaruddin . –TMI

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive