16 June 2014

ADUN UMNO Kepala Batas diberi projek pembinaan & penyelengaraan UiTM Pasir Gudang - Rafizi



Pengarah strategi PKR Rafizi Ramli mendakwa satu kontrak pembinaan dan penyelenggaraan untuk kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Pasir Gudang diberikan kepada seorang ADUN Umno Pulau Pinang.

Rafizi mendedahkan bahawa kontrak tersebut diberikan kepada satu firma, yang mana 20 peratus pegangan dalam syarikat itu dipegang oleh ADUN berkenaan.

Beliau mendakwa demikian berdasarkan dokumen yang didakwa diperolehi daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia.



"Penyata kewangan syarikat itu menyatakan kedudukan asetnya hampir RM6 juta tetapi pendapat tahunan hanya RM150,000,” katanya.

Malaysiakini sedang menghubungi ADUN terlibat untuk mendapatkan maklum balas beliau. Namanya tidak disiarkan buat masa ini. - Malaysiakini




Jawapan Perdana Menteri kepada soalan Parlimen saya bertarikh 10 April 2014 mengesahkan bahawa satu perjanjian konsesi telah ditandatangani di antara Kerajaan Malaysia dan Cosmic Dimension Sdn Bhd bagi pembinaan UiTM Kampus Cawangan Pasir Gudang yang akan dibina oleh Cosmic Dimension Sdn Bhd dan disewakan kembali kepada UiTM.
Dalam jawapan yang sama, Perdana Menteri mengakui bahawa kos kampus adalah di antara RM280 juta ke RM315 juta tetapi UiTM terikat dengan satu perjanjian konsesi selama 23 tahun dengan bayaran sewa tahunan di antara RM56 juta hingga RM69 juta.

Semakan menunjukkan bahawa Cosmic Dimension Sdn Bhd adalah sebuah syarikat yang mana salah seorang pemilik saham utamanya adalah YB Shariful Azhar Othman, ADUN Bertam (Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang) dari Umno.
Beliau memegang sebanyak 1 juta saham Cosmic Dimension Sdn Bhd iaitu 20% saham pemegang konsesi tersebut. Bersama-sama seorang lagi pengarah dan pemegang saham utama iaitu Mohamed Rafik Mohd Idris (pemegang 45% saham), YB Shariful Azhar Othman mengawal secara majoriti Cosmic Dimension Sdn Bhd.
Kedua-dua YB Shariful Azhar Othman dan Mohamed Rafik Mohd Idris mempunyai hubungan rapat melalui satu yayasan iaitu Yayasan Abadi yang ditubuhkan secara bersama oleh mereka. YB Shariful Azhar Othman adalah Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah sementara Mohamed Rafik Mohd Idris adalah pengarah urusan Yayasan Abadi.
Semakan terkini pada 14 April 2014 dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia menunjukkan bahawa penyata kewangan terakhir yang difailkan oleh Cosmic Dimension Sdn Bhd dengan SSM adalah bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2008.
Penyata kewangan itu menunjukkan kedudukan aset sebanyak hampir RM6 juta dan perolehan tahunan sebanyak RM150,000 sahaja.
Sebab itu, bukan sahaja saya mempersoalkan kaedah penswastaan kampus cawangan UiTM yang digunapakai oleh Barisan Nasional, malah saya berpendapat latar belakang syarikat pemegang konsesi tidak menunjukkan kedudukan kewangan yang kukuh dan pengalaman yang panjang dalam sektor pembinaan.
Apabila dibandingkan dengan konsesi kampus-kampus cawangan lain yang menunjukkan setiap konsesi berkait dengan seorang yang rapat dengan Umno, saya menggesa Perdana Menteri menjawab sama ada perjanjian konsesi ini diberi kepada Cosmic Dimension Sdn Bhd kerana syarikat itu berkait rapat dengan seorang ADUN Umno?
Perjanjian konsesi 23 tahun yang membebankan UiTM ini sudah tentu akan membawa kesan kepada yuran dan perbelanjaan-perbelanjaan lain satu hari nanti seperti mana perjanjian tol dan IPP telah mengekang kemampuan kewangan Kerajaan Persekutuan.

RAFIZI RAMLI
Ahli Parlimen Pandan
16 Jun 2014
SUMBER

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive