Musim terbaharu tapi format lama. Ya, program realiti Akademi Fantasia ((AF2014) kembali dengan pengisian serba mantap dengan membawa masuk semula format asal program AF sewaktu mula diterbitkan pada tahun 2003 dan akan diperkenalkan semula dengan nafas yang lebih segar bersesuaian dengan arus peredaran zaman.
Pendek kata, AF tahun ini kembali dengan peraturan lama, seperti pelajar-pelajar kembali dikuarantin di sebuah banglo misteri dan terdapat kamera tersembunyi yang merakam segala aktiviti mereka. Pada konsert mingguan pula tentunya ada kejutan, 'drama air mata' dan sebagainya.
Menurut Pengurus saluran Astro Ria, Encik Raqim Ahmad, kemasukan semula format asal tersebut adalah berdasar kajian yang dibuat berdasarkan penerbitan AF musim-musim yang lepas.
"Selepas membuat kajian yang begitu teliti, pihak kami dapati ramai kalangan para penonton mahukan AF dengan format lama. Keputusan juga menunjukkan penonton cukup sebati dengan elemen mainan emosi, drama dan air mata yang cuma dapat mereka rasai dalam AF.
"AF juga sentiasa penuh dengan kejutan! Kejutan demi kejutan terbukti telah menjadi antara rencah utama resepi kejayaan AF sepanjang lebih sedekad penerbitan program ini", katanya ketika ditemui pada sidang media pengumuman program tersebut bertempat di hotel Le Meridien, Kuala Lumpur, semalam.
Pada tahun ini pihak produksi akan mengunjungi empat buat lokasi seluruh Malaysia untuk sesi ujibakat iaitu di Johor (13 & 14 Jun), Pulau Pinang (14 & 15 Jun), Sabah (21 & 22 Jun) dan Selangor (21 & 22 Jun). Astro juga menjalankan ujibakat secara online yang mana calon bolehh memilih untuk memuat naik klip video nyanyian mmereka secara kreatif menerusi aplikasi AF Mobile ataupun hantar terus ke laman sesawang rasmi di www.akademifantasia.com.my
Selain itu AF 2014 juga bakal membawa masuk khidmat beberapa nama besar yang dipilih berdasarkan pengalaman mereka yang amat luas dalam industri seni tanah air sebagai juri yang dipertanggungjawabkan untuk menilai persembahan para peserta berdasarkan kriteria yang ditetapkan untuk sesi ujibakat di setiap lokasi yang terpilih.
Barisan juri tersebut ialah Shafizawati Sharif atau Cikgu Shafi, Cikgu Siti Hajar, Hashridz Murshim (Acis), Fatimah Abu Bakar serta Fauziah Nawi.
Program AF 2014 dijadualkan untuk bersiaran di Astro Ria menerusi saluran 104 bermula Ogos ini.
-mD
No comments:
Post a Comment