Rombakan Kabinet akan berlaku tidak lama lagi selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberi bayangannya hari ini.
Dalam ucapannya ketika merasmikan terminal tambang murah Lapangan Terbang Antarabangsa 2 (klia2), Najib mengucapkan terima kasih kepada Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein atas kerja kerasnya terutama beberapa bulan lalu dalam menangani isu kehilangan pesawat MH370 yang hilang pada 8 Mac lalu.
“Ini mungkin acara terakhirnya sebagai menteri pengangkutan,” katanya.
Spekulasi timbul Najib akan mengadakan rombakan Kabinet bagi membolehkan presiden parti komponen dalam Barisan Nasional seperti MCA dan Gerakan menjawat jawatan menteri.
Laporan mendakwa barisan Kabinet baru akan diumumkan dalam masa terdekat sehingga selepas Hari Raya yang dijangka jatuh pada 28 Julai.
The Malaysian Insider sebelum ini melaporkan empat ahli Parlimen MCA dan dua daripada Gerakan akan dilantik menjadi menteri dan timbalan menteri sebagai sebahagian kecil rombakan dengan tiada menteri digugurkan.
Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dan presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong disahkan menjawat jawatan menteri setelah Mah memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan.
Sebanyak 32 menteri berada dalam jawatan Kabinet hari ini.
Jawatan menteri pengangkutan yang biasanya diberikan kepada MCA dipangku Hishammuddin selepas pilihan raya umum lalu apabila MCA enggan menerima jawatan dalam Kabinet akibat prestasi buruk dalam pilihan raya.
Parti Cina itu bagaimanapun menarik balik keputusan itu awal tahun ini.
Tiga lagi kekosongan adalah jawatan timbalan menteri kewangan, pelancongan dan menteri di Jabatan Perdana Menteri. – 24 Jun, 2014.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/najib-beri-bayangan-rombakan-kabinet-tidak-lama-lagi?utm_medium=twitter&utm_source=twitterfeed#sthash.LT2HBoOW.dpuf
No comments:
Post a Comment