Nasi Kandar Line Clear, salah sebuah restoran India Muslim yang paling terkenal di Pulau Pinang bakal menghadapi risiko penutupan gara-gara masalah pelesenan. Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) berkata akan mengambil alih semula tapak restoran itu di lorong sempit Jalan Pulau Pinang, George Town yang sudah beroperasi selama beberapa dekad jika masalah tersebut masih tidak dapat diatasi.
Isu pelesenan timbul berikutan pertikaian antara empat ahli keluarga yang pada mulanya bersetuju bergilir-gilir menjalankan perniagaan nasi kandar itu.
Sehingga kini, restoran tersebut diuruskan Abdul Hamid Seeni Pakir meskipun keluarga itu membuat perjanjian akan membenarkan beliau menjalankan perniagaan sehingga 2011.
Beliau sepatutnya menyerahkan perniagaan itu kepada sepupunya, Sahubarali China Mohd Hanibah pada 2011, namun didakwa tidak berbuat demikian.
"Kami akan berunding kembali dengan pihak kepentingan bagi menyelesaikan masalah ini dalam dua minggu. Berdasarkan hal itu, kami terpaksa mengambil tindakan bagi memastikan perniagaan dijalankan mengikut peraturan dan undang-undang.
"Kami berhasrat ingin mengambil alih premis dengan mengosongkan kawasan itu menyusun semula perniagaan selaras dengan majlis undang-undang," kata Pengarah Pelesenan MPPP, Azman Sirun.
Sejarah restoran Line Clear bermula kira-kira setengah abad lalu.
Ketika itu pekerja akan menjerit "line clear" sebagai cara mereka memberitahu sudah bersedia untuk melayan pelanggan yang sedang berbaris.
Restoran itu amat popular di kalangan penduduk tempatan dan pelancong yang mahukan makanan terbaik mamak Pulau Pinang.
Restoran itu juga terkenal dengan aroma kari dan pelbagai hidangan seperti daging, makanan laut dan sayuran. – 2 Jun, 2014.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/nasi-kandar-line-clear-pulau-pinang-bakal-tutup-kerana-masalah-pelesenan?utm_medium=twitter&utm_source=twitterfeed#sthash.JWPg9KbC.dpuf
No comments:
Post a Comment