Konsesi penswastaan UiTM cawangan Jasin telah diberikan kepada YBK Usahasama Sdn Bhd yang dikawal oleh dua bekas wakil rakyat Umno Selangor.
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mendakwa bahawa konsesi penswastaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus cawangan Jasin yang diberi kepada syarikat milikan kroni Umno tidak mengambilkira pelan jangka panjang, tetapi dipengaruhi secara melobi dan rundingan dengan syarikat pemegang konsesi.
“Konsesi penswastaan UiTM cawangan Jasin telah diberikan kepada YBK Usahasama Sdn Bhd yang dikawal oleh dua orang tokoh Umno Selangor yang juga merupakan bekas wakil rakyat.
“Tokoh Umno tersebut adalah bekas Adun Batang Kali Datuk Zainal Abidin Sakom dan bekas Adun Sungai Air Tawar Datuk Dr. Mat Yasir Ikhsan,” katanya dalam satu kenyataan media di Dewan Rakyat, hari ini.
Sebelum ini yayasan yang dikawal oleh Zainal Abidin iaitu Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) pernah terlibat dalam satu kontroversi melalui cadangan pembinaan UiTM cawangan Serendah di atas tanah yang pernah dianugerahkan oleh pentadbiran Umno kepada yayasan tersebut.
“Namun demikian, tanah tersebut telah diambil balik oleh pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat apabila YBK melanggar beberapa syarat yang telah ditetapkan Kerajaan Selangor,” ujarnya.
Kata Rafizi lagi, selepas gagal membina UiTM cawangan Serendah, YBK terlibat pula dalam konsesi penswastaan UiTM cawangan Jasin.
“YBK bukanlah sebuah entiti yang terlibat dalam projek pembinaan dan pengurusan aset besar, malah pemegang konsesi iaitu YBK Usahasama Sdn Bhd hanya ditubuhkan pada tahun 2010 selepas usaha membuka UiTM cawangan Serendah gagal.
“Syarikat itu ditubuhkan hanyalah untuk tujuan konsesi dan pemberian konsesi kepada syarikat ini dilakukan terlebih dahulu sebelum pembinaan UiTM ,” katanya.
Semakan beliau dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan bahawa YBK Usahasama Sdn Bhd adalah sebuah syarikat milik penuh Serendah Heights Sdn Bhd.
Tiga entiti
“Serendah Heights Sdn Bhd pula dimiliki oleh tiga entiti Yayasan Basmi Kemiskinan, Prihatin Ehsan Holdings Sdn Bhd dan Just Wisdom Sdn Bhd,” kata Pengarah Strategi PKR itu.
Zainal Abidin adalah pengerusi YBK dan Pengarah di dalam Serendah Heights Sdn Bhd. dan Prihatin Ehsan Holdings Sdn Bhd. Manakala Dr. Mat Yasir adalah pengarah didalam Serendah Heights Sdn Bhd dan Prihatin Ehsan Holdings Sdn Bhd.
Manakala, isteri Zainal Abidin iaitu Datin Hartini @ Gayah Osman juga adalah pengarah Prihatin Ehsan Holdings Sdn Bhd dan ahli Lembaga Pemegang Amanah YBK.
“Ini menunjukkan pegangan konsesi 23 tahun UiTM cawangan Jasin yang dianggarkan bernilai RM1.5 bilion ini dikuasai dan dikawal oleh tokoh-tokoh Umno Selangor,” katanya.
Bukti-bukti yang ditampilkan ini sudah cukup untuk menunjukkan bagaimana UiTM digunakan oleh Umno untuk menanggung bebanan bayaran kepada syarikat konsesi yang semuanya milik pimpinan Umno.
Kenyataan Rafizi itu menangkis jawapan Menteri Pendidikan Dua, Datuk Seri Idris Jusoh yang menuduhnya membawa bukti yang tidak lengkap selain Idris Jusoh turut menyerang peribadi beliau.
“Ini menunjukkan bahawa Umno tidak bersedia untuk berdepan dengan isu ini.
“Apa lagi bukti yang Idris mahukan dan dapat dilihat bahawa beliau sendiri tidak menyangkal pendedahan yang telah saya lakukan,” ujarnya.
Rafizi turut menyatakan bahawa pada minggu hadapan, beliau akan mendedahkan konspirasi yang berlaku kepada UiTM cawangan Tapah dan UiTM cawangan Kota Samarahan. - FMT
No comments:
Post a Comment