22 June 2014

Tukar Khalid: Pandangan rakyat Selangor perlu diambil kira - Iskandar

Ini barangkali antara ikhtiyar akhir kumpulan PAS yang menyokong Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam menghadapi isu penukaran pemimpin nombor satu di Selangor itu.

Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Abdul Samad dalam satu kenyataan kepada Agendadaily meminta pemimpin-pemimpin politik di negeri itu mengambil kira pandangan rakyat sebelum membuat keputusan muktamad menukar Khalid.

"Jangan hanya mengambil kira pandangan pemimpin politik sahaja. Pemimpin politik perlu juga turun ke bawah untuk mendapatkan pandangan sebenar di peringkat akar umbi," ujar beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar Selangor.


Agendadaily difahamkan wujud dua kem dalam Badan Perhubungan PAS Selangor, satu yang mahu menukar Khalid dan satu yang mahu MB Selangor sejak 2008 itu dikekalkan.

Sungguhpun Iskandar merupakan Pesuruhjaya PAS Selangor dan Exco Kerajaan Negeri, namun kuasanya 'tawar' apabila kumpulan yang mahu menggantikan Abdul Khalid menguasai Badan Perhubungan PAS Selangor.

Undi Iskandar kalah dalam undi-undi lain dalam Badan Perhubungan PAS Selangor.

Menurut Iskandar, pandangan rakyat Selangor penting kerana mereka juga mempunyai hak kerana seorang Menteri Besar itu bukan sahaja milik orang politik tetapi juga milik seluruh rakyat.

"Pada Pilihan Raya Umum parti-parti politik telah turun merayu kepada rakyat untuk mendapatkan sokongan. Oleh itu, adalah wajar di saat-saat seperti ini pandangan rakyat juga perlu diperolehi,"ujarnya.

Berdasarkan rekod, Abdul Khalid menang bergaya dalam penggal kedua sebagai MB dalam PRU13 lalu.

Pakatan Rakyat menang enam kerusi DUN tambahan dalam PRU13 berbanding 12.

"Rakyat telah memberi mandat kepada Pakatan Rakyat untuk mentadbir Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke 13 maka sebarang perubahan besar seperti pertukaran Menteri Besar perlu juga mendapat pandangan mereka.

"Sekiranya rakyat tidak merestui jika pertukaran berlaku maka kesannya akan diterima pada Pilihan Raya Umum yang akan datang," kata Iskandar.

Jelasnya, Pakatan Rakyat mesti mesra rakyat dan ini termasuk peka kepada kehendak rakyat.

"Biarlah pandangan kesemua kelompok dan peringkat rakyat diambil kira. Bukan hanya kumpulan-kumpulan tertentu sahaja," kata beliau.

Desas-desus mahu menggantikan Abdul Khalid sejak awal tahun ini lagi.

PKR melaksanakan Kajang Move untuk menyingkirkan beliau, namun pelan tersebut gagal.

Kini PAS dan DAP pula mendesak Abdul Khalid digantikan selepas didakwa gagal mengendalikan beberapa isu sensitif seperti isu air, rampasan Bible bahasa Melayu dan lebuhraya Kidex.-22/6/2014

1 comment:

Anonymous said...

saya sebagai seorang ahli pas berpendapat pas wajib memenuhi janji untuk bersama pakatan kerana itu kita mendapat sokongan bukan islam. mudah2an dengan menepati janji bukan islam percayakan kebaikan islam dan suatu hari nanti tidak mustahil mereka menyokong hudud dan ketika itu hanya pas yang wujud parti2 lain dah tak perlu lagi.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive