12 July 2014

Ahli Dakwa Rafizi Punca Kemelut PKR

alt


KUALA LUMPUR 12 Julai - Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli sewajarnya dipecat daripada parti itu kerana melaksanakan 'Langkah Kajang' yang menjadi punca perbalahan dan kemelut dalaman PKR.

Ahli PKR cabang Subang, Mohd. Shahril Panjang Rani berkata, Langkah Kajang telah mencetuskan perbalahan dan pergaduhan antara pengikut Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

"Kita meminta Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail untuk memecat Rafizi dari jawatan Pengarah Strategi dan ambil tindakan disiplin terhadap beliau.

"Strategi Rafizi hanya merosakkan imej dan perpaduan dalam parti, Rafizi wajar dihukum kerana telah merosakkan parti dengan strategi putar belit beliau," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Shahril, Langkah Kajang yang dicipta oleh Rafizi bersama Abdul Rahim Ghouse merupakan bencana politik kepada PKR dan pengkhianatan terhadap parti.

"Kita mahu Datin Seri Wan Azizah, selaku Presiden PKR dengar dan bertindak atas suara akar umbi parti PKR, jangan pula mahu pecat ahli-ahli yang bersuara untuk selamatkan parti.

"Kita semua sayangkan parti, jangan pecat kita jika bercakap benar, jika mahu pecat ahli-ahli yang bersuara demi untuk kebaikan parti, maka di mana keadilan yang diuar-uarkan," katanya.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive