10 July 2014

Gerakan baru ‘tuntut semula Malaysia’ dilancar


Sebuah gerakan rakyat baru yang dinamakan "Negara-Ku" dilancarkan hari ini, bertujuan memulihkan Malaysia dan mengembalikan harapan di ketika cabaran masakini yang menjejaskan keamanan dan keharmonian antara rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini.
Digelar sebagai "gerakan rakyat menuntut tanah air," ia diketuai dua individu terkenal sebagai penaung, iaitu peguam Datuk Ambiga Sreenevasan dan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said.
“Ada sesetengah parti politik dan sekutu mereka yang tidak menumpukan kepada bina negara, sebaliknya hanya membina empayar kuasa mereka masing-masing.
"Mereka ini, dari kedua-dua belah pihak, mengejar satu agenda yang bersifat transaksi dan jangka pendek, bukan transformasi dan jangka panjang," kata Samad pada majlis pelancaran di Kuala Lumpur hari ini.
Bekas pengerusi bersama Bersih 2.0 itu menambah, politik berasaskan kaum dan etnik serta ahli politik yang berfikiran perkauman akan terus merosakkan proses bina negara yang inklusif dan pencapaian satu identiti bangsa Malaysia.
Samad juga berkata agama semakin giat digunakan sebagai penunjuk utama identiti seseorang dan mekanisme yang meletakkan sempadan untuk memecahbelahkan rakyat.
"Mobilisasi dan manipulasi kaum, etnik dan agama menyebabkan manusia makin tidak bertolak ansur, taksub dan melampau.
“Terdapat juga kebangkitan sub-budaya keganasan politik. Ini adalah tanda wujudnya pergolakan yang bahaya dalam masyarakat kita,” kata Samad.
Tambahnya, kerajaan gagal menangani kebangkitan ini dan tidak memainkan peranan sebagai penyelia yang jujur dalam menangani konflik dalam masyarakat.
Samad berkata beliau percaya majoriti masyarakat Malaysia mahu politik yang membahagi antara kaum dan agama dihentikan.
"Kita mesti bertindak sebelum masyarakat kita jatuh lebih jauh ke dalam jurang ketidakstabilan,” katanya.
Negara-Ku disokong oleh 68 kumpulan masyarakat sivil dan badan bukan kerajaan. – 10 Julai, 2014.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/gerakan-baru-untuk-tuntut-semula-malaysia-dilancarkan1#sthash.mvuDPpUy.dpuf

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive