02 July 2014

'Hukum pengemis bercanggah dengan Islam'



Pengumuman kerajaan untuk menghukum golongan peminta dan pemberi sedekah menerima kecaman keras dari para aktivis yang menyifatkannya sebagai tanda kegagalan kerajaan untuk menangani isu kemiskinan.



Antaranya, Pemuda PAS Wilayah Persekutuan yang menyifatkan pengumuman oleh Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Mansor itu bercanggah dengan seruan Islam untuk bersedekah.


Ketua pergerakan itu, Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata kenyataan menteri tersebut ketika umat Islam baru menyambut kedatangan Ramadan itu juga menunjukkan Tengku Adnan gagal memahami isu tersebut.

“...(Kenyataan menteri) memperlihatkan kegagalan menteri mengenalpasti punca sebenar gejala itu, apatah lagi untuk (mencadangkan penyelesaian) bagi menyelesaikan masalah tersebut,” kenyataanya dipetik.

Tambahnya, kerajaan sepatutnya sedar hukuman seperti itu sahaja tidak cukup untuk membersihkan Kuala Lumpur dari pengemis.

“Fenomena mengemis di ibu kota itu sebenarnya manifestasi dari kegagalan Kementerian Wilayah Persekutuan untuk membasmi kemiskinan bandar dan menangani sindiket peminta sedekah,” katanya lagi.

Tahan seperti penjenayah

Sementara itu, kolektif Dapur Jalanan Kuala Lumpur pula dalam kenyataannya menyebut, “pengumuman tidak masuk akal” dan “tidak berperikemanusiaan” tersebut menunjukkan kerajaan akan terus menyalah guna Akta Orang-Orang Papa 1977 (AOP) melalui operasi tangkapan pengemis.

“Ini adalah tidak tepat sama sekali kerana AOP... disalahguna oleh pihak berkuasa seperti Jabatan Kebajikan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dalam pelbagai operasi seperti Operasi Gelandangan dan Operasi Qaseh yang menangkap dan menahan warga miskin kota seperti penjenayah sewenang-wenangnya.”

Sedangkan, akta tersebut sudah pun menyatakan dengan jelas tujuan untuk “menyelamat” dan “memulihkan” warga miskin kota, kenyataan itu dipetik.

Dapur Jalanan, yang menyediakan makanan percuma kepada warga gelandangan di Jalan Panggung, Kuala Lumpur pada setiap hari Ahad, turut menjemput Tengku Adnan untuk melihat sendiri keadaan golongan berkenaan di jalanan.

Kenyataan tersebut menjawab kenyataan Tengku Adnan semalam yang mengumumkan, tindakan seperti itu bagi mengurangkan budaya meminta sedekah yang mencemar imej ibu negara.
   
Menurut laporan Bernama, Tengku Adnan berkata tindakan saman ke atas pemberi sedekah dan menahan pengemis dibuat kerana golongan peminta sedekah itu terdiri dari orang asing.

Katanya, tindakan NGO yang memberi makanan percuma kepada warga gelandangan di “merata-rata” juga mengundang kekotoran.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive