Tuesday, July 02, 2014
Satu muka digunakan oleh Ketua Pengarang akhbar The Star Datuk Wong Chun Wai (dalam ruanggannya “Comment”), hari ini untuk menggambarkan kegiatan militat dan jihad yang melibatkan rakyat Malaysia terutama di Negara-negara bergolak dan konon kaitannya dengan PAS.
Satu persatu nama-nama radikal itu diperkenalkan selain penglibatan mereka dalam PAS.
Ternyata agenda yang jelas Wong adalah untuk mengaitkan PAS dengan kegiatan keganasan yang hari ini digeruni Barat dan dunia.
Dari nama Ustaz Lotfi Ariffin, Zainon Ismail (yang dalam PRU lalu berkempen menentang PAS), Noorashid Sakid, Ahmad Tajuddin Abu Bakar, Solihan Abd Ghafar, Alias Ngah, Abu Bakar Che Dol, Asfawani Abdullah, Ahmad Pozi Deraman sehinggalah Nik Adli Nik Abd Aziz semuanya disebut .
Bagi saya artikel Wong gagal membuktikan bahawa individu-individu yang beliau namakan itu berpengaruh dalam PAS, atau menerima arahan dari PAS atau dihantar oleh PAS. Sebagai penggiat media yang veteran sepatutnya beliau juga melaporkan bahawa PAS tidak pernah mengiktiraf atau menyokong tindakan mana-mana individu yang beliau dedahkan itu.
Malah dalam kes Ustaz Lotfi, Wong sendiri mengakui yang PAS telah memecat keahliannya. Adilkah kita mengaitkan seseorang begitu sahaja. Contohnya kalau seorang peragut atau pembunuh atau perogol itu kebetulan ahli Umno, bolehkah kita kaitkan bahawa mereka melakukan jenayah itu atas dorongan Umno?
Menteri yang rasuah, berapa ramai bekas MB Umno yang terlibat, orang-orang politik dari Umno dan BN tidak pula kita kaitkannya dengan Umno atau BN secara langsung, kenapa apbila dua tiga kerat individu ini yang dinamakan Wong yang terlibat dalam kegiatan atas pilihan mereka sendiri, tiba-tiba PAS yang mahu dicampak ke kandang orang salah?
Tetapi yang paling tidak adil apabila Wong menulis:
If there is one thing that is consistent in the PAS agenda, it is its ambition to push for the implementation of hudud laws and to turn Malaysia into an Islamic state.
But more than that, there are also members who are cheering for the militants in Syria…..
Sengaja Wong membangkitkan isu hudud dan Negara Islam bagi saya semata-mata mahu mengaitkannnya dengan militant dan kegiatan ekstrim. Berapa jahatnya tulisan ini dan dari situ kita boleh membaca kebencian yang meluap-luap dalam hati beliau sebenarnya terhadap Islam dan perjuangannya.
Wong ternyata silap apabilabeliau mengatakan bahawa perjuangan militant di Syria disambut dan disokong oleh orang-orang PAS, sebenarnya perjuangan menentang kezaliman disokong oleh semua umat Islam. Bukan hanya PAS, Umno, atau apa parti pun selagi dia Islam dan faham, pasti dia akan menyokong perjuangan yang menentang kezaliman, tetapi itu tidak bermakna ia seorang militant atau ekstrimis.
Kesimpulannya bibit-bibit kemarahan masyarakat bukan Islam terhadap agenda Islam sudah semakin kelihatan dalam Negara. Apalagi dikalangan mereka yang berpengaruh dan mempunyai kedudukan yang boleh mempengaruhi minda rakyat.
Mengapa mesti ada sikap mengadu-domba sedangkan sepatutnya kita berbaik sangka dan berkasih-kasihan.
Tulisan seperti ini mengundang kemarahan dan kebencian jika ia berterusan saya tidak nampak ia membantu dalam pembentukkan Negara dan perpaduan nasional. - roslan sms
No comments:
Post a Comment