11 August 2014

Abu Sayyaf Tuntut RM5 Juta Bebaskan Zakiah

alt
KOTA KINABALU 11 Ogos -  Kumpulan lelaki bersenjata Abu Sayyaf dikatakan telah menuntut wang sejumlah RM5 juta bagi membebaskan Zakiah Aleip, konstabel polis marin yang telah diculik di Semporna pada 12 Julai lalu.

Zakiah, 26, telah dibawa lari oleh sekumpulan lelaki bersenjata Filipina dari Pulau Mabul manakala rakannya Korperal Ab Rajah Jamuan, 32, ditembak mati dalam satu serbuan di sebuah resort.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman enggan mendedahkan jumlah yang diminta tetapi berkata rundingan untuk menjamin kebebasan Zakiah mungkin mengambil masa yang lama kerana jumlah tersebut adalah terlalu tinggi.

Beliau berkata sejumlah 42 panggilan diterima oleh isteri Zakiah dan anggota polis yang lain sama ada daripada Zakiah atau lelaki dari kumpulan bersenjata.

"Lelaki bersenjata juga telah memberikan peluang kepadanya (Zakiah) untuk bercakap dengan isteri dan ahli keluarga beliau, terutamanya pada waktu petang atau malam," katanya.

"Ia akan mengambil masa, jumlahnya terlalu tinggi," kata Jalaluddin, sambil menambah Zakiah tidak dicederakan walaupun beliau telah dipindahkan oleh orang yang menangkapnya bagi mengelak ditangkap polis Filipina.

Mengenai panggilan untuk mendapatkan bantuan kerajaan oleh Chin Pek Nyen, isteri kepada Chan Sai Chuin, 32, yang telah diculik dari sangkar ikan Kunak pada 16 Jun, Jalaluddin berkata beliau telah membincangkan kes Chan dan Zakiah dengan Ketua Polis Negara.

Dipercayai kumpulan Abu Sayyaf yang menculik Chan telah menuntut wang tebusan sebanyak RM3 juta.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive